TUN Dr.Mahathir Mohamad hari ini menyifatkan Amerika Syarikat AS) dan Presidennya, Donald Trump adalah dalang utama di belakang genosid yang dilakukan oleh Israel ke atas rakyat Palestin.
Sehubungan itu beliau menggesa, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim membatalkan jemputan kepada Trump, untuk menghadiri Sidang Kemuncak Asean di Kuala Lumpur.
“Malaysia tidak boleh berdiam diri, kerajaan dan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu tampil ke hadapan untuk menyatakan pendirian kita terhadap kekejaman Israel dan Amerika Syarikat,” katanya.
Dalam kenyataan melalui video di media sosial, Dr.Mahathir berkata, beliau merayu kepada Anwar membatalkan jemputan tersebut kerana Trump adalah pendokong jenayah kemanusiaan yang sedang dijalankan oleh Israel ke atas rakyat Palestin.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, Malaysia tidak boleh berdiam diri dan mahu pentadbiran negara ini mengambil pendirian yang tegas serta nyata terhadap kekejaman yang dilakukan oleh Israel dengan sokongan AS.
“Ini adalah satu tanggungjawab moral yang amat besar. Kita mesti menunjukkan dengan jelas dan tanpa ragu kepada Israel dan AS bahawa walaupun negara kita kecil, Malaysia tetap berdiri teguh dan lantang menentang ketidakadilan serta penindasan mereka,” katanya.
Dr. Mahathir turut mengingatkan bagaimana pengorbanan rakyat Malaysia yang menyertai Misi Global Sumud Flotilla (GSF) untuk menghantar bantuan kepada rakyat Palestin.
‘’Mereka sanggup “bergadai nyawa” kerana tidak sanggup berdiam diri melihat jenayah terhadap kemanusiaan berlaku di depan mata. Kami, sebagai rakyat Malaysia, meminta kerajaan supaya membatalkan jemputan kepada Presiden Donald Trump ke Sidang Kemuncak ASEAN,’’ katanya.
Beliau berkata, sehingga kini, Amerika Syarikat masih terus menyalurkan dana, senjata dan bantuan ketenteraan kepada Israel bagi meneruskan pembunuhan terhadap rakyat Palestin.
.



