KETUA Pengarang Astro Awani, Ashwad Ismail hari ini mencetuskan spekulasi bakal dilantik sebagai Ketua Pengarah Penyiaran Malaysia yang baharu selepas mengumumkan keputusan untuk berundur daripada jawatannya sejak lima tahun menerajui organisasi berita tersebut.
Dalam satu kenyataan yang dimuat naik di media sosial, Ashwad, 41, menyifatkan keputusan itu dibuat ketika Astro Awani berada pada keadaan kukuh dan mampan, selain menyatakan rasa syukur atas peluang yang diberikan sepanjang tempoh perkhidmatannya.
“Lima tahun lalu, pada usia 36 tahun, saya diamanahkan oleh Astro Malaysia Holdings Berhad untuk menerajuinya sebagai Ketua Pengarang. Ia jadi satu cerminan kepercayaan berterusan Astro dalam membina dan memperkasa bakat kepimpinan muda tempatan.
“Hari ini, saya membuat keputusan untuk berundur. Mengundur diri ketika jenama berita paling dipercayai di Malaysia ini berada dalam keadaan kukuh, mampan dan penuh keyakinan terhadap apa yang telah kita bina bersama,” katanya.
Beliau turut menyifatkan Astro Awani sebagai lebih daripada sekadar sebuah bilik berita, sebaliknya satu misi untuk membuktikan kewartawanan mampu kekal berprinsip, berinovasi dan berdaya tahan secara komersial walaupun berdepan cabaran industri media yang semakin kompleks.
Mengambil semangat Ramadan, Ashwad berkata, beliau berundur dengan penuh rasa syukur serta memohon maaf atas segala kekurangan sepanjang tempoh perkhidmatannya.
“Saya berundur dengan penuh rasa syukur kepada Allah SWT. Terima kasih kepada semua. Saya menyusun sepuluh jari memohon ampun dan maaf di atas segala kekurangan, kesilapan dan kekhilafan sepanjang khidmat saya di Astro Awani,” katanya.
Ashwad merupakan antara pemimpin muda dalam industri media tempatan apabila dilantik sebagai Ketua Pengarang Astro Awani pada usia 36 tahun, sekali gus mencerminkan peralihan generasi kepimpinan dalam organisasi penyiaran negara.
Pengumuman pengundurannya itu hadir hanya beberapa hari selepas Datuk Suhaimi Sulaiman bersara daripada jawatan Ketua Pengarah Penyiaran Malaysia pada Khamis lalu, sekali gus mencetuskan spekulasi bahawa Ashwad berpotensi mengisi kekosongan itu bagi menerajui Radio Televisyen Malaysia (RTM).
Setakat ini, tiada pengumuman rasmi dibuat oleh kerajaan berhubung pelantikan Ketua Pengarah Penyiaran Malaysia yang baharu. Namun, perkembangan ini dilihat sebagai satu lagi peralihan penting dalam landskap kepimpinan media negara, khususnya dalam institusi penyiaran awam.


