BKS nafi dakwaan kutip khairat kematian, minta bayaran tambahan urus jenazah

BADAN Kebajikan Salatulrahim (BKS) menafikan dakwaan kononnya pertubuhan itu mengutip wang khairat kematian serta meminta bayaran tambahan daripada waris dalam kes pengurusan jenazah seorang remaja perempuan di Tanah Perkuburan Islam Ukay Perdana, Hulu Klang baru-baru ini.

Yang Dipertuanya, Wan Shahir Wan Abd Hamid berkata, dakwaan yang tular dalam media sosial itu adalah tidak benar dan hanya bertujuan mencemarkan reputasi pertubuhan berkenaan.

Menurut beliau, BKS tidak pernah mengutip khairat kematian seperti didakwa, sebaliknya hanya mengenakan yuran keahlian tahunan.

“Yuran ini yang melayakkan ahli menikmati pelbagai manfaat kebajikan termasuk pengurusan jenazah dan bantuan menunaikan ibadah haji.

“BKS tidak pernah mengutip khairat kematian. Apa yang kami kutip hanyalah yuran tahunan keahlian dan perkataan ‘khairat’ langsung tidak wujud dalam perlembagaan pertubuhan kami,” katanya dalam sidang media di ibu negara hari ini, lapor Sinar Harian.

Wan Shahir mengulas isu kelewatan pengebumian seorang remaja perempuan berusia 14 tahun yang meninggal dunia akibat komplikasi usus bocor di Tanah Perkuburan Islam Ukay Perdana sehingga tular pada Khamis lalu.

Mengulas dakwaan kononnya waris memegang dokumen palsu, Wan Shahir menegaskan perkara itu tidak pernah berlaku dan meminta pihak yang membuat tuduhan mengemukakan bukti.

“Saya telah membuat laporan polis berhubung penyebaran video di media sosial yang mendakwa wujudnya dokumen palsu.

“Tuduhan itu berpunca daripada komen seorang individu yang kami kenali di Facebook sebelum kandungannya diubah suai sehingga memberi gambaran negatif terhadap BKS,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, BKS hanya menguruskan proses memandikan dan mengkafankan jenazah remaja terbabit tanpa mengenakan sebarang bayaran kepada keluarganya.

Menurutnya, tiada sebarang kekecohan berlaku membabitkan BKS mahupun waris di tanah perkuburan seperti yang didakwa.

“Pengurusan jenazah tiba kira-kira jam 12 tengah hari dan sepatutnya proses pengebumian berjalan lancar kerana lot perkuburan di bawah kendalian Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) telah disediakan lebih awal,” katanya.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img