JABATAN Peguam Negara (AGC) memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang melepas dan membebaskan remaja lelaki berusia 15 tahun daripada pertuduhan membunuh seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun di sebuah sekolah menengah di Bandar Utama, tahun lalu.
AGC dalam kenyataan memaklumkan notis rayuan sudah difailkan di Mahkamah Rayuan, Selasa lalu.
Pada 14 September lalu, Hakim Mahkamah Tinggi, Adlin Abdul Majid melepas dan membebaskan remaja itu selepas mendapati tertuduh tidak siuman ketika kejadian.
Mahkamah turut memerintahkan remaja berkenaan ditempatkan dan menjalani rawatan di Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak dengan perkenan Sultan Selangor.
Remaja itu didakwa membunuh rakan sekolahnya di tandas pelajar perempuan sebuah sekolah menengah kebangsaan di Bandar Utama antara jam 9.20 pagi hingga 9.35 pagi, 14 Oktober 2025.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun serta sebatan tidak melebihi 12 kali, jika tidak dijatuhi hukuman mati.
Bagaimanapun, Seksyen 97(1) Akta Kanak-Kanak 2001 menetapkan hukuman mati tidak boleh dikenakan terhadap individu berumur di bawah 18 tahun.
Peguam bela remaja itu, Kitson Foong berkata, mahkamah mendapati pihak pembelaan berjaya membuktikan syarat mengikut Seksyen 84 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan pembelaan atas alasan tidak waras.
Katanya, pembelaan itu merangkumi aspek ketidakwarasan dari sudut perubatan dan undang-undang.





