BEKAS pemain bek tengah Malaysia dan Selangor, P. Darmalinggam meninggal dunia di Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang, Selangor ketika menerima rawatan sejak mengalami kecederaan tulang belakang akibat terjatuh di rumahnya, beberapa hari lalu.
Kejadian yang menimpa mendiang dimaklumkan oleh anak lelakinya, Arul seperti dilaporkan laman sosial Instagram Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb) semalam.

Mendiang menghembuskan nafas terakhir dalam usia 63 tahun iaitu seminggu lagi untuk ulang tahun kelahirannya, 19 September ini.
Darmalinggam pernah membarisi skuad negara juara Pestabola Merdeka 1986 di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur selepas menewaskan kelab Czechoslovakia, Sigma Olomouc 3-0 dalam perlawanan akhir.
Antara rakan sepasukannya ialah mendiang Datuk R. Arumugam ,mendiang Serbegeth Singh, Datuk Dollah Salleh, Datuk Zainal Abidin Hassan, Datuk Ahmad Yusoff, Saidin Osman dan Khan Hung Meng, Wong Hung Nung serta Razip Ismail.
Anak jati Klang, Selangor ini juga pernah beraksi pada Sukan Asia New Delhi 1982 selain menyarung jersi pasukan pelapis Harimau Malaysia yang ditubuhkan pada 1981 dan bertahan sehingga 1986.
Bersama Selangor dia membarisi kesebelasan utama yang menjuarai Piala Malaysia 1984 dan 1986 setelah menumpaskan Pahang 3-1 dan Johor 6-1 juga di stadium bersejarah tu.


