Bekas pemandu dipenjara tiga bulan ugut Hakim Mahkamah Tinggi KL

BEKAS pemandu hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dipenjara tiga bulan oleh Mahkamah Majistret Kuala Lumpur hari ini atas pertuduhan melakukan ugutan jenayah terhadap hakim berkenaan pada Mei lalu.

Majistret Heng Yi Min menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohd Fareez Mohd Zin, 39, selepas dia menukar pengakuan kepada bersalah semasa prosiding sebutan kes hari ini.

Lelaki itu didakwa melakukan perbuatan tersebut terhadap Hakim Mahkamah Tinggi, Gan Techiong, 64, dengan tujuan mendatangkan ketakutan dan kegentaran kepada hakim itu di Mahkamah Tinggi (Sivil) Kuala Lumpur, Jalan Duta pada jam 1.30 petang 8 Mei lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya dan jika ugutan adalah untuk menyebabkan kematian atau kecederaan parah, boleh dipenjara selama tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya.

Mengikut fakta kes, Mohd Fareez menghantar dua rakaman suara berunsur ugutan menerusi WhatsApp dan membuat panggilan telefon kepada setiausaha Techiong.

Dalam rakaman suara itu, tertuduh didakwa membuat kenyataan berunsur fitnah serta ugutan terhadap hakim berkenaan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Iman Nurhidayah Ezani memohon hukuman setimpal berdasarkan keseriusan kes berkenaan.

“Kesalahan yang dilakukan adalah serius dan boleh mengancam reputasi dan keselamatan pengadu walaupun tiada kecederaan fizikal berlaku. Hukuman yang setimpal perlu dijatuhkan sebagai pencegahan kepada tertuduh dan masyarakat secara keseluruhannya,” katanya.

Peguam Shah Rizal Abdul Manan yang mewakili tertuduh memohon mahkamah menjatuhkan hukuman ringan atas alasan anak guamnya menanggung tiga anak dan isteri yang tidak bekerja.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here