Tubuh RCI baharu Tabung Haji – wakil rakyat BN, PH

DUA wakil rakyat masing-masing daripada Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) menggesa kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) baharu bagi menyiasat pengurusan dan operasi Lembaga Tabung Haji (TH).

Ahli Parlimen Tampin, Datuk Mohd Isam Mohd Isa mencadangkan RCI baharu dibuat bagi tempoh 2021 hingga 2025 kerana siasatan sedia ada hanya meliputi 2014 hingga 2020.

Menurut wakil rakyat UMNO itu, secara keseluruhan, beliau mendapati masih banyak perkara yang terlepas pandang daripada skop RCI ini antaranya sudah tentulah kerana tempoh yang terhad dari 2014 hingga 2020.

“Sedangkan, banyak perkara penting yang berlaku terhadap TH pasca tahun 2020. Tempoh RCI ini sepatutnya dipanjangkan lagi sehingga sekurang-kurangnya ke tahun 2025.

“Sehubungan itu, saya menggesa suatu RCI baharu dibuat bagi tempoh 2021 sehingga 2025 untuk mengenal pasti kelemahan pengurusan dan operasi Tabung Haji bagi tempoh tersebut,” katanya ketika membahaskan laporan RCI berkaitan TH di Dewan Rakyat hari ini.

Mohd Isam yang juga anggota Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) berkata, isu pengurusan dan tadbir urus TH bagi tempoh 2022 hingga 2026 juga wajar dibawa ke PAC untuk penelitian lebih mendalam.

Katanya, langkah itu penting bagi memastikan sebarang kelemahan dalam pengurusan institusi berkenaan dapat dikenal pasti dan diperbetulkan.

“Selain itu, selaku ahli PAC, saya juga mencadangkan isu berkenaan pengurusan dan tadbir urus Tabung Haji turut dibawa ke PAC supaya dapat diteliti dengan lebih mendalam dan terperinci terutama daripada tahun 2022 hingga 2026,” katanya.

Sebelum itu, Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer membangkitkan perkara sama, menyatakan RCI baharu perlu dibuat bagi menyiasat pengurusan TH dan pihak bertanggungjawab terhadap masalah kewangan dan pengurusan institusi itu.

Menurutnya, RCI sedia ada tidak lengkap kerana tidak menyatakan dengan jelas pihak yang perlu dipertanggungjawabkan atau dikenakan tindakan susulan.

“Saya menuntut supaya satu lagi RCI diadakan dan dalam RCI itu kalau perlu mengesyorkan pihak-pihak mana yang sebenarnya bertanggungjawab dan tindakan susulan seperti menuduh mereka di mahkamah,” kata Ahli Parlimen DAP itu.

 

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here