SEORANG wanita warga Myanmar maut selepas dipercayai ditikam oleh bekas suaminya dalam kejadian di Genting Court Condominium, Setapak, Kuala Lumpur, petang semalam.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, dalam kejadian kira-kira jam 2.20 petang itu, mangsa ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri sebelum disahkan meninggal dunia akibat kecederaan tikaman di bahagian dada.
“Bertindak atas maklumat tersebut, sepasukan polis telah digerakkan ke lokasi dan berjaya menahan seorang lelaki warga Myanmar pada hari yang sama.
“Siasatan awal mendapati suspek merupakan bekas suami mangsa dan motif kejadian dipercayai berpunca daripada perasaan cemburu,” katanya dalam kenyataan.
Fadil berkata, polis turut merampas senjata yang dipercayai digunakan dalam kejadian tersebut.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
“Semalam, suspek dibawa ke mahkamah dan dibenarkan direman selama tujuh hari sehingga 30 April bagi membantu siasatan lanjut.
“Hasil bedah siasat di Hospital Kuala Lumpur mengesahkan punca kematian mangsa adalah akibat tikaman di dada (stab wound to the chest),” katanya.
Sehubungan itu, polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian tampil membantu siasatan dengan menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Wangsa Maju atau mana-mana balai polis berhampiran.


