SEBUAH portal berita baharu hasil inisiatif bekas wartawan Utusan Melayu, diberi nama Utusan Melayu+ (Utusan Melayu Plus), dilancarkan hari ini bersempena sambutan Hari Kebangsaan.
Portal ini bertekad untuk mengangkat semula kewartawanan Utusan Melayu dengan memberi tumpuan kepada berita semasa serta analisis mendalam.
Keutamaannya adalah penyebaran kandungan melalui platform media sosial utama seperti TikTok, Instagram dan Facebook, selaras dengan trend pengguna masa ini.
Utusan Melayu+ boleh diakses melalui web utusanmelayuplus.com dan media sosial utusanmelayu+official (Tik Tok, Instagram dan Facebook).
Utusan Melayu+ diterajui tiga tonggak utama, iaitu Zulkiflee Bakar, selaku Ketua Pengarang yang berpengalaman lebih 30 tahun dalam kewartawanan cetak dan digital di Utusan Malaysia, Sinar Harian serta beberapa portal berita.
Hisham Idris pula pernah berkhidmat di akhbar Kosmo!, MalaysiaNow dan UtusanTV. Mohd Nizam Hamzah, yang arif dengan perkembangan multimedia semasa membawa pengalaman dari Utusan Melayu dan Malaysia Gazette.
Menurut Zulkiflee, portal itu menekankan gaya penyampaian yang pantas, terpercaya, segar dan interaktif, bagi memenuhi keperluan pembaca masa ini yang cenderung mendapatkan maklumat secara ringkas, visual dan mudah dikongsi.
> “Pemilihan tarikh 31 Ogos sebagai hari pelancaran adalah simbolik kepada kemunculan media baharu berjiwa nasionalis,” katanya.
Beroperasi dari Garden City Business Centre, Ampang, Utusan Melayu+ menyasarkan untuk berkembang menjadi salah satu portal berita digital arus perdana dalam tempoh beberapa tahun akan datang



