KOMENTAR SABTU
HARI ini Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil akan mendahului senarai penerima Istiadat Penganugerahan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Kehormatan Negeri Pulau Pinang sempena Ulang Tahun ke-85 Yang Dipertua Negeri, Tun Ramli Ngah Talib.
Ahli Parlimen Lembah Pantai berusia 45 tahun itu akan menerima Darjah Panglima Pangkuan Negeri (DPPN) yang membawa gelaran Datuk Seri.
Semalam seperti diduga apabila berita mengenai anugerah itu tersebar, di media-media sosial, Fahmi menjadi mangsa serangan. Penulis yang membaca komen-komen tersebut berasa hairan kenapakah dalam kalangan kita khususnya sebahagian orang Melayu semakin hilang adabnya.
Tidak kiralah apapun perbezaannya antara kita sama ada politik mahupun dari segi pandangan tetapi ia bukanlah lesen untuk kita memaki hamun dan melemparkan kata-kata nista seolah-olah orang yang kita tidak suka itu tidak melakukan sekelumitpun jasa.
Sudah pasti Fahmi menerima anugerah atau pengiktirafan itu atas khidmat dan jasa beliau khususnya sebagai Menteri Komunikasi. Persoalannya, adakah yang mengecam dalam media sosial itu mengenali Fahmi? Adakah mereka mengetahui apa yang beliau lakukan setakat ini sebagai menteri?
Penulis percaya kalau ditanya apa bidang kuasa Kementerian Komunikasi pun pasti sebahagian besar ‘kaki kecam’ tersebut tidak mengetahuinya. Begitu juga kalau ditanya apa yang sudah Fahmi lakukan di kementerian berkenaan… belum tentu mereka tahu, yang mereka tahu bila ada akaun tik tok digantung terus tuding jari kepada Fahmi, walaupun ia di bawah bidang kuasa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM).
Betul SKMM di bawah Kementerian Komunikasi tetapi dalam soal tindakan, tak kan semuanya mereka perlu menunggu arahan menteri?
Apakah mereka yang mengecam Fahmi begitu yakin beliau tidak melakukan apa-apa sehingga tidak layak menerima anugerah Datuk Seri? Penulis paparkan sedikit apa yang dilakukan oleh Ahli Parlimen Lembah Pantai itu sepanjang menerajui kementerian tersebut antaranya memperluaskan Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI).
Lebih 1,099 pusat NADI ditubuhkan di seluruh negara dan ia memberi manfaat kepada kira-kira 1.9 juta pengguna melalui penyampaian maklumat kerajaan, latihan digital dan kemudahan internet komuniti.
Selain itu di bawah kepimpinan beliau juga Keselamatan internet dan perlindungan pengguna dilaksanakan. Ia bertujuan memperhebat usaha membanteras penipuan dalam talian, buli siber dan kandungan berbahaya.
Malah rakyat sudah melihat bagaimana tegasnya Fahmi berhadapan dengan pengendali platform media sosial untuk memastikan penurunan kandungan yang melanggar undang-undang Malaysia.
Demikian serba sedikit apa yang dilakukan oleh Fahmi setakat ini sebagai Menteri Komunikasi. Banyak yang lagi dilaksanakan tetapi tidak semuanya harus dibentangkan. Penulis paparkan fakta itu bagi membolehkan ‘kaki kecam’ tidak mengutip ‘dosa kering’ dengan pelbagai tuduhan liar terhadap Fahmi di media sosial.
Apa yang paling mengecewakan dalam komen-komen itu juga ada yang berhujah dengan menggunakan ayat-ayat suci al-Quran seolah-olah mereka ‘terpaling benar’ dan mahu memburukkan penganugerahan tersebut.
Namun mereka buat-buat lupa bahawa Allah SWT berfirman dalam surah Al-Ma’idah ayat bermaksud:
“Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada takwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan.”
Kesimpulannya, cukup-cukuplah kita berpolitik dengan menyebarkan kebencian. Kita boleh bersetuju tidak bersetuju, kita berhak menentukan siapa yang kita mahu sokong dan kita juga boleh menyukai siapa yang kita suka tetapi janganlah mengecam, mencaci dan menghina orang yang tidak sehaluan dengan kita sesuka hati apatah lagi jika seseorang yang menjadi sasaran itu bertaraf pemimpin.
Tidak kiralah sama ada ia ahli politik kerajaan mahupun pembangkang, kalau mereka menerima anugerah tidak perlu mana-mana ‘kaki kecam’ menggelupur tak tentu pasal di media sosial…bagaikan ayam kena sembelih.
Hormatilah pemerintah sesebuah negeri yang memberi anugerah itu. Sama ada layak atau tidak, itu soal pemberi anugerah menentukannya.
Apapun penulis percaya, serangan-serangan melalui media sosial tersebut tidak akan menjadi ‘kudis’ kepada Fahmi, sebaliknya ‘kaki kecam’ itu yang hidup tidak tenteram kerana terus dibaluti kebencian. Oleh itu hentilah kerja-kerja sia-sia berkenaan….gunakan ruang komen di media sosial dengan kebijaksanaan dan bukannya memaparkan kejahilan diri sendiri.






