Berang ditegur alih kenderaan, wanita tendang kemaluan polis bantuan

SEORANG anggota polis bantuan cedera selepas ditendang di bahagian kemaluan oleh seorang wanita yang berang ditegur supaya mengalihkan kenderaannya di Glo Damansara, Taman Tun Dr Ismail (TTDI), Kuala Lumpur, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.38 pagi itu, anggota lelaki berusia 30 tahun berkenaan sedang menjalankan tugas statik sebelum menegur pemandu kereta Hyundai Inokom yang diletakkan bertentangan arah serta membunyikan hon kepada kenderaan lain tanpa sebab.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Hoo Chang Hook berkata, mangsa kemudian menghampiri kenderaan dipandu wanita itu untuk menegur dan mengarahkannya mengalihkan kenderaan.

Bagaimanapun, katanya, suspek menunjukkan isyarat lucah dengan mengangkat jari tengah sambil memberus gigi sebelum keluar dari kenderaan dan cuba menyerang mangsa.

“Suspek kemudian menendang bahagian kemaluan mangsa,” katanya, lapor Harian Metro hari ini.

Beliau berkata, mangsa meminta bantuan anggota lain ketika bergelut dengan suspek dan cuba menahannya, namun wanita itu berjaya melarikan diri.

Katanya, usaha mengesan suspek sedang giat dijalankan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here