BARISAN Nasional (BN) komited membantu menangani masalah dan menjaga kebajikan masyarakat serta menawarkan kestabilan dan pembangunan ekonomi berserta kemajuan Johor.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani menerusi hantaran di Facebook memberi jaminan berkenaan ketika turun padang membantu kempen calon-calon BN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Ketika berkempen bersama calon BN bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Larkin, Hairi Mad Shah, Johari yang juga Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri berkata, komitmen berkenaan adalah berdasarkan pengalaman dan rekod perkhidmatan BN selama ini.
“Berdasarkan pengalaman dan rekod perkhidmatan BN, kita akan terus komited untuk membantu permasalahan rakyat, menjaga kebajikan masyarakat setempat serta menawarkan kestabilan demi masa depan Larkin yang lebih baik,” katanya dalam hantaran itu.
Semasa berkempen di Larkin juga, beliau bersama Hairi yang juga Naib Ketua Pemuda UMNO menziarahi penduduk dari rumah ke rumah.
Selain itu, mereka bertemu peniaga kecil di Medan Niaga Kampung Melayu Majidi yang siap dinaik taraf pada 2025 di bawah pentadbiran Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.
Medan niaga berkenaan menempatkan hampir 150 unit premis merangkumi pelbagai perniagaan setempat yang memberi manfaat kepada ekonomi tempatan.
Johari turut bersama-sama jentera kempen BN Wilayah Persekutuan bertemu masyarakat Cina dan India, peniaga-peniaga kecil, pemain-pemain industri serta Dewan Perniagaan Cina Iskandar Puteri (IPCCC).
Ia bagi membantu calon BN, Datuk Pandak Ahmad di DUN Kota Iskandar, Pannir Selvam (DUN Perling) dan Teow Chia Ling (DUN Puteri Wangsa).
“Dalam pertemuan ini, saya membantu menerangkan beberapa persoalan berkaitan ekonomi, perniagaan serta isu-isu yang dibangkitkan oleh masyarakat setempat, khususnya yang melibatkan cabaran peniaga kecil dan pemain industri.
“BN Johor komited untuk memastikan mesej kestabilan, pembangunan ekonomi dan kemajuan Johor untuk rakyat dapat disampaikan kepada semua kelompok masyarakat,” tambahnya.
Johari yang turut berkongsi video beliau beramah mesra dengan penduduk setempat ketika berkunjung ke Restoran Noy Kampung Danga, Kempas Baru berkata, apa yang membuatnya terharu adalah sambutan positif penduduk setempat yang menerima baik dan menyantuni penuh mesra calon BN.
“Semoga usaha berterusan dalam menyantuni masyarakat dengan membawa tekad kestabilan dan agenda Maju Johor ini dapat terus memperkukuh sokongan rakyat, sekali gus memenangkan Barisan Nasional di Johor,” katanya.
Dalam kempen di DUN Tiram yang ditandingi calon BN, Datuk Abdul Halim Suleiman, Johari berkata, Johor mencatatkan pencapaian memberangsangkan apabila merekodkan kadar pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) tertinggi di Malaysia bagi 2025 sebanyak 8 peratus.
“Kejayaan ini mencerminkan keyakinan berterusan pelabur terhadap ekonomi Johor serta keberkesanan pentadbiran kerajaan negeri Johor yang dipimpin BN. Sekiranya terus diberikan mandat, BN akan terus berkerja dengan lebih kuat untuk membangunkan Johor dan hasil kemajuan dapat dinikmati oleh seluruh rakyat Johor,” katanya.






