EMPAT suspek kes rogol pelajar Tingkatan Tiga di sebuah sekolah di Melaka sudah dibuang sekolah serta-merta.
Ketua Pengarah Pendidikan, Dr Mohd Azam Ahmad, berkata keputusan itu dibuat Lembaga Tata Tertib Sekolah yang bersidang pada hari ini, lapor BH Online.
Beliau berkata demikian sidang media khas di sini berkaitan perkembangan kes salah laku seksual di sebuah sekolah di Melaka.
Terdahulu, Kerajaan memberi jaminan suspek kes rogol di sekolah menengah di Alor Gajah, Melaka itu akan dikenakan hukuman sewajarnya mengikut peruntukan perundangan sedia ada di bawah Kanun Keseksaan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Transformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, berkata faktor usia di bawah 18 tahun bukan merit untuk suspek terlepas daripada sebarang tindakan.
Beliau berkata, ini kerana tindakan merogol adalah perbuatan jenayah dengan pertuduhan ke atas suspek boleh dibuat di mahkamah berasingan, bergantung kepada kelompok usia pelaku ketika kejadian berlaku.
Kelmarin, empat pelajar Tingkatan Lima direman enam hari sehingga Khamis ini, bagi membantu siasatan kes rogol bergilir-gilir ke atas pelajar perempuan Tingkatan Tiga itu.
Perintah reman dikeluarkan Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Majistret Melaka, SR Arthana ke atas semua suspek lelaki berusia 17 tahun yang juga calon SPM itu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 375B Kanun Keseksaan kerana rogol secara berkumpulan.
[forminator_poll id=”4496″]



