Caj RM100 sebulan untuk elektrik curi, empat diberkas

KEGIATAN sindiket yang dipercayai mencuri dan menjual bekalan elektrik secara haram kepada penduduk di penempatan setinggan dekat Sandakan terbongkar selepas empat warga asing diberkas dalam operasi bersepadu yang dijalankan selama tiga hari bermula Rabu lalu.

Siasatan mendapati sindiket itu mengenakan bayaran antara RM50 hingga RM100 bagi setiap rumah yang menerima bekalan elektrik melalui sambungan haram.

Ketua Pegawai Eksekutif Energy Commission of Sabah (ECoS), Datuk Ir Abdul Nasser Abdul Wahid berkata, keempat-empat suspek dipercayai menjadi dalang utama kegiatan berkenaan dan kini ditahan untuk membantu siasatan.

Menurutnya, mereka disiasat mengikut Seksyen 8(1)(b), Seksyen 61(1), Seksyen 61(3)(a) dan Seksyen 61(8) Enakmen Bekalan Elektrik 2024 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM1 juta atau penjara maksimum 10 tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

“Operasi bersepadu seperti ini akan terus dipergiatkan bagi membanteras kegiatan mencuri bekalan elektrik yang bukan sahaja menyalahi undang-undang, malah mengundang risiko keselamatan seperti renjatan elektrik dan kebakaran,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Operasi itu membabitkan kira-kira 80 pegawai pelbagai agensi termasuk ECoS, Sabah Electricity (SE), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen Malaysia dan Jabatan Air Negeri Sabah.

Abdul Nasser berkata, dalam operasi sama, sebanyak 35 kes dikesan membabitkan 26 warga asing dan sembilan warga tempatan yang disyaki melakukan kesalahan mencuri bekalan elektrik mengikut Seksyen 61(3)(a) Enakmen Bekalan Elektrik 2024.

Katanya, semua kes berkenaan dijangka dibawa ke mahkamah sebaik proses siasatan selesai.

Beliau berkata, selain tindakan penguatkuasaan, Sabah Electricity turut melaksanakan pendekatan ‘meter house’ bagi mengurangkan risiko sambungan elektrik secara haram serta memastikan bekalan elektrik yang lebih selamat dan tersusun kepada pengguna.

“ECoS akan terus memperkukuh penguatkuasaan melalui kerjasama strategik bersama agensi berkaitan dalam usaha membendung kegiatan kecurian bekalan elektrik di Sabah,” katanya.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img