MAHKAMAH Sesyen Shah Alam hari ini memerintahkan pempengaruh media sosial Caprice atau nama sebenarnya Ariz Ramli memohon maaf dan membayar ganti rugi RM200,000 kepada Ebit Lew kerana memfinah pendakwah itu.
Hakim Zuhrina Mohamed Nor memutuskan demikian setelah membenarkan saman fitnah Ebit Lew atau nama sebenarnya Ebit Irawan Lew, 42, selaku plaintif terhadap Caprice sebagai defendan berhubung tujuh kenyataan berbaur fitnah melalui audio siar (podcast) dan klip video diterbitkannya sebelum ini.
Mahkamah memerintahkan Caprice membayar ganti rugi am sebanyak RM50,000, ganti rugi teladan (RM50,000), ganti rugi pampasan (RM50,000) dan ganti rugi teruk (RM50,000).
Zuhrina turut memerintahkan Caprice membayar kos RM20,000 kepada plaintif.
Caprice turut diperintahkan mengemukakan permohonan maaf kepada Ebit Lew dan perlu dimuat naik, disiar, diterbit, diedar atau dihebahkan pada mana-mana laman media sosial yang berada di bawah kawalan, pengawasan atau jagaannya (Caprice) dalam tempoh 48 jam selepas perintah mahkamah itu dimeterai.
Dalam prosiding berkenaan, Ebit Lew diwakili peguam Datuk Akberdin Abdul Kader sementara peguam Mohd Rezan Ezra Muhammad Mosinal hadir bagi pihak Caprice.
Pada 29 Sept 2023, Ebit Lew memfailkan saman mendakwa rakaman oleh defenden antara lain membawa maksud dirinya melakukan gangguan seksual dan mengambil kesempatan terhadap pempengaruh dari Indonesia, Mondy Tatto selain seorang yang tidak bertanggungjawab serta penunggang agama.
Plaintif mendakwa Caprice selaku defendan pertama secara jahat menerbitkan video berkenaan tanpa membuat sebarang pengesahan fakta daripadanya atau peguam.
Plaintif turut mendakwa kenyataan berbaur fitnah dikeluarkan Caprice dan Mondy yang menyebabkan dirinya dikecam, diejek serta diaibkan.





