KERAJAAN akan meneliti permohonan beberapa sektor bagi mendapatkan tenaga kerja asing termasuk dalam sektor restoran dan pembinaan sebelum sebarang keputusan dibuat berhubung keperluan berkenaan.
Menteri Komunikasi merangkap Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil berkata, perkara itu dibincangkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri hari ini susulan terdapat permohonan daripada beberapa industri yang memerlukan tenaga kerja tambahan.
Beliau berkata, permohonan berkenaan perlu diteliti mengambil kira dasar negara ketika ini yang menetapkan had jumlah pekerja asing.
“Jemaah Menteri hari ini terus membincangkan mengenai permohonan daripada beberapa sektor untuk tenaga kerja dalam kalangan pekerja asing seperti sektor restoran dan pembinaan.
“Memandangkan pada waktu ini terdapat dasar negara berkenaan had jumlah pekerja asing, Perdana Menteri telah mengarahkan kementerian berkaitan mendapatkan maklumat lebih terperinci daripada industri dan sektor di bawah jagaan mereka,” katanya pada sidang media pasca Mesyuarat Kabinet, hari ini.
Fahmi berkata, kementerian seperti Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) serta Kementerian Kerja Raya (KKR) akan mendapatkan maklumat lengkap berkaitan keperluan tenaga kerja daripada sektor masing-masing.
Katanya, maklumat itu penting bagi membolehkan kerajaan membuat penilaian lanjut sebelum dibentangkan semula dalam Mesyuarat Jemaah Menteri akan datang.






