AKTIVIS politik Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali sebagai Chegubard, dihalang daripada menerbit dan menyebarkan sebarang kenyataan berunsur fitnah terhadap seorang pegawai kanan tentera di media sosial.
Peguam Mohamed Baharudeen Mohamed Ariff mewakili Mejar Jeneral Faridhulathroth Hashim selaku plaintif berkata Hakim Mahkamah Tinggi Roslan Mat Nor memutuskan demikian, selepas membenarkan permohonan interim injunksi plaintif dalam kes samannya terhadap Badrul Hisham pada prosiding Selasa lepas.
“Perintah interim yang berkuat kuasa sehingga saman berkenaan diputuskan, menghalang Badrul Hisham atau wakilnya daripada menerbitkan, menerbitkan semula, menyebarkan atau terus menyebarkan sebarang kenyataan, imej atau rujukan berkaitan plaintif, kecuali jika perlu bagi tujuan prosiding mahkamah.
“Mahkamah turut mengarahkan supaya semua penerbitan dan rujukan dalam talian yang berada di bawah kawalan defendan disembunyikan, selain memerintahkan defendan membayar kos RM3,000 kepada plaintif,” katanya lapor Bernama hari ini.
Sementara itu, Muhammad Rafique Rashid Ali yang mewakili Badrul Hisham mengesahkan perkara itu.
Faridhulathroth, 52, yang merupakan Asisten Ketua Staf Perisikan, Cawangan Perisikan Markas Tentera Darat memfailkan saman pada 21 April, mendakwa Badrul Hisham telah menerbitkan enam kenyataan berbaur fitnah yang dimuat naik di Facebook miliknya antara 31 Dis 2025 hingga 17 Jan, berhubung kegiatan jenayah dan salah laku plaintif.
Plaintif mendakwa kenyataan itu antaranya membawa maksud beliau dalang atau orang penting dalam aktiviti rasuah pada peringkat tertinggi Tentera Darat dan jawatan plaintif dalam perisikan telah digunakan bukan untuk keselamatan negara, tetapi untuk melindungi kepentingan peribadi pihak atasan berkaitan urusan aktiviti haram.
Menurut plaintif, kenyataan fitnah itu telah merosakkan reputasi serta nama baik beliau dan memohon ganti rugi am, teruk, teladan serta perintah lain yang dianggap sesuai oleh mahkamah.






