Oleh : Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay
Allahyarham bapa saya, Mydin Pitchay bin Abu Bakar meninggal dunia pada 29 Mei 2009 ketika berusia 86 tahun di Tanah Merah, Pendang. Semua adik-beradik kami memanggil Allahyarham bapa saya dengan panggilan ATA, yang membawa maksud bapa atau abah.
Allahyarham bapa saya adalah di antara yang terawal mula membuka kedai kopi di Pekan Tanah Merah iaitu sejak sebelum zaman penjajahan Jepun. Di kedai kopi inilah saya dibesarkan dengan jiran berbangsa Cina dan Kampung Melayu.
ATA adalah individu awal yang membentuk watak, peribadi, sifat dan sikap saya. Walaupun saya selalu mendapat hadiah ‘rotan’ kerana paling nakal dan keras kepala, tetapi apabila mencecah umur 10 tahun….
ATA mula memberi tanggungjawab kepada saya untuk membantu dalam urusan-urusan di kedai kopi….seperti membersihkan kedai, mencuci pinggan mangkuk dan melayan pelanggan.

Pada usia 11 tahun, saya mula belajar menebar roti canai dan bermula dari situlah saya terus mahir dalam selok-belok menyediakan roti canai…. dari mengadun bancuhan bahan-bahan, menguli tepung, membuat ‘bola’ tepung di sebelah malam dan menebarnya pada keesokan hari. Rutin saya… sekolah, tebar roti canai, sekolah, tebar roti canai….
‘Profession’ menebar roti canai mengisi sebahagian besar dari zaman remaja saya. Saya pernah bekerja menebar roti canai di beberapa kedai mamak di Pekan Tanah Merah, Simpang Empat Kangkong, Kebun 500 Pokok Sena dan Bt. 3 Tandop Alor Setar.
Dari zaman sekolah rendah, menengah dan sehingga memasuki Universiti Kebangsaan Malaysia dan sementara menunggu peluang pekerjaan selepas menamatkan pengajian di UKM….saya masih menebar roti canai.
ATA mengajar saya erti usaha dan kegigihan… saya masih ingat bagaimana ada masanya perniagaan kedai kopi di Tanah Merah tidak mencukupi untuk menyara kami, ATA pernah menumpang berniaga roti canai di sebuah kedai di Bt 3, Tandop, Alor Setar.
ATA berulang-alik dari Simpang Empat Kangkong menaiki teksi dengan membawa tepung roti canai dengan kuah dal ke tempat beliau menumpang berniaga roti canai di sebuah kedai Bt 3, Tandop, Alor Setar. Saya akan membantu ATA setiap hari cuti sekolah Jumaat dan Sabtu.
Adat menumpang berniaga di kedai orang kadang kalanya amat menyedihkan dan perlu banyak kesabaran. Ada ketika kalau ATA lambat untuk mengambil wang pelanggan yang memesan roti canai….pemilik kedai tersebut melemparkan wang syiling 30 sen ke atas belanga roti canai. ATA sabar dan terus berniaga di situ juga.
ATA juga mengajar saya sifat berani dan mempertahankan hak kita. Pernah satu hari ada seorang pelanggan yang mabuk dan terkenal sebagai kaki judi yang tidak mahu membayar makanannya.
Pelanggan ini mengeluarkan sebilah pisau tajam, mengugut ATA dan menghentak pisaunya di meja cashier. Saya lihat ATA tidak menunjukkan sebarang reaksi dengan ugutan tersebut.
Sebelah tangan kanan ATA memegang kayu tetapi lelaki tersebut tidak nampak. ATA tidak berganjak dan tidak gentar, akhirnya pelanggan tersebut membayar juga makanan dan minuman beliau.
Ada satu lagi insiden di mana, seorang lagi jiran kami yang sering mabuk dan mengugut jiran-jiran lain. ATA adalah individu yang ke depan dan mencabar pemabuk itu… tetapi beliau tidak berani untuk berdepan dengan ATA.
ATA jugalah yang berpesan kepada saya agar jangan mengambil hak orang lain. Pesanan ATA itulah saya pegang kuat sehingga sekarang. Ketika itu, istilah rasuah jarang-jarang didengar.
Tambahan istilah integriti dan tatakelola tidak pernah kita dengar. Tetapi ATA telah tanam dalam jiwa saya mengambil hak orang adalah dosa besar. ATA bukanlah seorang “ulamak”, atau seperti segelintir ahli- ahli politik yang sering memetik ayat Quran, Hadis dan bercakap mengenai integriti, rasuah dan tatakelola, tetapi ATA ada prinsip.
Prinsip dan pesanan itulah yang saya pegang sehingga ke hari ini dalam konteks jangan mengambil rasuah, jangan bersekongkol dengan aktiviti dan sindiket haram.
Banyak di kalangan kita yang beretorik, bermuka-muka, pandai “berlakon” bagi mengaburi aktiviti rasuah mereka. Mereka sudah pun kaya-raya, mewah dan berharta… ibarat kalau dibelanjakan untuk 10 keturunan pun tidak akan habis… tetapi masih memungut rasuah seolah-olah tidak cukup-cukup…. benarlah seperti kata-kata Uts Dato’ Hj. Shamsuri Ahmad… “Dunia ini adalah duit… semua orang kalah dengan duit”.
Ada kalanya kita yang beragama Islam…. agama “syumul” yang lengkap dengan segalanya serta penuh dengan petunjuk, panduan, ingatan dan nasihat…. tetapi malangnya sesetengah dari kita tidak memiliki sifat amanah….dan terlibat dalam rasuah.
Ada juga filem-filem Barat yang dihasilkan oleh orang bukan Islam yang menyelit unsur-unsur maruah, amanah, integriti dan kebertanggungjawaban dalam penugasan kita….tetapi kita seringkali tidak mengambil aspek moral yang diketengahkan dalam filem tersebut.
‘When you lose your money….you lose nothing’
‘When you lose your health….you lose something’
‘When you lose your character….you lose everything’
– Filem Lanksy (2021)
‘We cannot forget who we are….or where we come from’
– Filem ‘The Last Samurai’ (2003)
‘Remember who you are….You are my son’
– Filem ‘The Lion King’ (1994)
*Catatan ini dipetik dari Facebook Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay, Timbalan Ketua Polis Negara.



