Cubaan seludup bunga ganja bernilai RM6.2 juta tumpas

JABATAN Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menggagalkan cubaan menyeludup dadah jenis bunga ganja seberat 67.48 kilogram yang dianggarkan bernilai lebih RM6.2 juta di kawasan Tambak Persisiran Pantai Bukit Putih di Kuala Perlis, Perlis, bulan lalu.

Pengarah JKDM Kedah, Wan Marini Wan Hamzah berkata, serbuan berasaskan maklumat risikan itu dilakukan oleh sepasukan pegawai Cawangan Penguatkuasaan Marin Langkawi bersama pasukan elit Customs Operational Battle Force Response Assault (COBRA) pada 10 malam.

“Hasil serbuan menemui sebuah sampan kayu yang ditinggalkan bersama empat beg guni bertulisan Thailand. Pemeriksaan lanjut ke atas beg berkenaan menemukan sejumlah besar bahan disyaki dadah jenis bunga ganja.

“Keseluruhan rampasan membabitkan 67.48 kilogram bunga ganja dengan nilai anggaran RM6,209,816,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor Bernama.

Beliau berkata dadah itu dipercayai diseludup dari negara jiran menggunakan sampan kayu.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Wan Marini turut menggesa orang ramai membantu JKDM memerangi jenayah penyeludupan khususnya rokok, minuman keras, mercun, dadah dan kenderaan.

“Penyeludupan bukan sahaja merugikan negara dari segi ketirisan hasil, malah turut mendatangkan ancaman kepada keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat,” katanya.

Baru-baru ini, Polis Diraja Malaysia menumpaskan satu sindiket pengedaran bunga ganja bernilai RM8.67 juta yang menjadikan inap desa sebagai lokasi penyimpanan dan pembungkusan tumpas dalam serbuan berasingan di Bukit Mertajam, Pulau Pinang.

Dalam serbuan pada 4 dan 5 November lalu, sepasang suami isteri dan seorang lelaki warga United Kingdom dipercayai keldai dadah antara lapan individu yang ditahan.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial

Terkini

spot_imgspot_img

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_imgspot_img