DBKL siasat punca ikan mati di Tasik Taman Danau Kota

DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sedang menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca kejadian ikan mati di Tasik Taman Danau Kota, Kuala Lumpur yang dilaporkan berlaku baru-baru ini.

DBKL dalam kenyataan memaklumkan, pemantauan awal serta pemeriksaan di lokasi sudah dilaksanakan susulan kejadian itu bagi memastikan tindakan sewajarnya dapat diambil.

Menurut kenyataan itu, Tasik Taman Danau Kota bukan sahaja berfungsi sebagai kawasan rekreasi awam, malah turut memainkan peranan sebagai kolam takungan banjir.

“Insiden ikan mati seperti ini pernah berlaku di beberapa tasik dan kolam takungan banjir sekitar Kuala Lumpur, khususnya selepas hujan lebat berterusan.

“Air yang mengalir masuk daripada kawasan tadahan lazimnya membawa sedimen, bahan organik, sampah dan bahan pencemar melalui sistem saliran sebelum memasuki tasik,” menurut kenyataan itu.

DBKL berkata, berdasarkan pemerhatian awal, kejadian berkenaan dipercayai berpunca daripada hujan lebat berterusan yang menyebabkan penurunan kandungan oksigen terlarut (Dissolved Oxygen – DO), perubahan kualiti air serta kemasukan sedimen dan bahan pencemar ke dalam tasik.

Menurutnya, keadaan itu boleh memberi tekanan kepada hidupan akuatik dan menjejaskan kelangsungan hidup ikan.

“DBKL sudah mengambil tindakan segera dengan menjalankan kerja pembersihan ikan mati bagi mengelakkan pencemaran air menjadi lebih serius selain mengurangkan risiko terhadap kesihatan awam dan memastikan keselesaan pengunjung.

“Selain itu, perangkap sampah turut dipasang di saluran masuk tasik bagi mengawal kemasukan sampah terapung serta bahan pencemar,” ujarnya.

DBKL turut memaklumkan pensampelan air dijalankan bersama Jabatan Alam Sekitar (JAS) Wilayah Persekutuan pada 16 Jun lalu bagi tujuan analisis kualiti air dan mengenal pasti faktor yang menyumbang kepada kejadian itu.

“DBKL akan terus memantau keadaan tasik serta melaksanakan tindakan bersesuaian bagi memastikan kawasan rekreasi ini kekal selamat, bersih dan selesa untuk kegunaan warga kota,” katanya.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img