PENGASAS dan penyampai radio Bapakku FM, Ismahalil Hamzah berkongsi pesanan penuh emosi buat keluarga tercinta susulan keputusan Mahkamah Rayuan yang menjatuhkan hukuman penjara 30 tahun atas kesalahan mengedar dadah.
Menerusi video berdurasi seminit 15 saat yang dikongsikan isterinya, Nor Haslinda Abdul Manaf kepada rakan-rakan kumpulan WhatsApp Bapakku FM, Ismahalil dilihat tenang sambil memeluk isterinya serta ditemani anak mereka, Isma Hakim.
Dalam video tersebut, Ismahalil yang berusia 53 tahun melahirkan rasa syukur dan menerima keputusan berkenaan sebagai ketentuan Allah, selain berterima kasih kepada semua pihak yang sentiasa mendoakannya, lapor portal Oh My Media.
“Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Alhamdulillah… Alhamdulillah, Allah bagi keputusan macam ini. Insya-Allah, terima kasih semua kawan-kawan, terima kasih semua.
“Kepada anak-anak ayah, doakan ayah, mungkin ini bahagian ayah. Kepada lawyer, kepada semua sekali.
“Demi Allah saya tak ada nak menyalahkan siapa-siapa. Semua ketentuan Allah. Terima kasih semua yang mendoakan. Kita dah berusaha dan kita telah mendoakan, insya-Allah,” katanya.
Bukan hanya meninggalkan pesanan buat keluarga, Ismahalil turut menyerahkan masa depan operasi Warung Bapakku FM di Gombak kepada rakan-rakannya sama ada mahu diteruskan atau sebaliknya.
“Kalau boleh kita teruskan warung itu, teruskanlah. Kalau tak mampu, kita tutup sahajalah, insya-Allah. Semua sahabat-sahabat, insya-Allah ini video yang terakhir, insya-Allah saya reda.
“Cikgu (wardar) pun baik semua pun baik. Insya-Allah, sayang anda semua. Wabillahi taufik wal hidayah, wassalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh,” akhirinya.
Terdahulu, Mahkamah Rayuan di Putrajaya menjatuhkan hukuman penjara 30 tahun terhadap Ismahalil selepas mengenepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang sebelum ini melepas dan membebaskannya daripada pertuduhan mengedar dadah pada September 2021.






