Dianggap tak prihatin isu TH, tindakan Ahli Parlimen Pas, Wawasan keluar dewan dipersoal

PELBAGAI pihak termasuk netizen mempersoalkan tindakan ahli Parlimen pembangkang yang tidak mengambil bahagian dalam sesi penerangan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama)  Dr Zulkifli Hasan berkenaan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Mengenai Tabung Haji (TH) di Mesyuarat Khas Dewan Rakyat hari ini.

Tindakan mereka keluar dewan dianggap tidak prihatin terhadap isu besar tersebut yang melibatkan jutaan pendeposit TH.

Mereka berbuat demikian selepas tidak berpuas hati dengan keputusan Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul, yang meneruskan sesi penerangan tanpa kehadiran Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Susulan itu, Johari membenarkan Ahli-ahli Parlimen pembangkang keluar daripada sidang itu dan mesyuarat diteruskan mengikut aturan yang ditetapkan.

“Kalau siapa nak keluar, keluar. Kalau siapa nak tunggu, tunggu. Sebab rakyat sedang melihat anda. Baik, siapa yang rasa dia tak mahu bincang dan lihat ini bukan penting, sila keluar,” katanya.

Suasana dewan mula ‘panas’ apabila Ketua Whip Perikatan Nasional (PN) Datuk Seri Takiyuddin Hassan mengemukakan cadangan supaya persidangan khas itu ditangguhkan, susulan ketidakhadiran Anwar dan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof yang masing-masing sedang dirawat akibat masalah kesihatan.

“Saya membangkitkan perkara ini selaras dengan satu surat yang telah saya hantar kepada Pejabat Tan Sri (Johari) dan telah disahkan terima semalam, iaitu memohon penangguhan Sidang Khas Parlimen berkaitan laporan RCI TH dan kami mencadangkan agar Sidang Khas Parlimen tersebut ditangguhkan ke satu tarikh yang lebih sesuai.

“Cadangan ini dibuat mengambil iktibar atas faktor kesihatan kepimpinan utama kerajaan, dengan Perdana Menteri sedang menjalani rawatan kesihatan manakala Timbalan Perdana Menteri (Fadillah) pula sedang mendapat rawatan di Institut Jantung Negara,” katanya.

Sementara itu, Takiyuddin pada sidang media selepas meninggalkan Dewan Rakyat berkata adalah wajar sekiranya pembentangan dan perbahasan RCI TH dapat dihadiri Perdana Menteri sebaik sahaja beliau kembali bertugas, memandangkan isu berkenaan sangat penting dan mempunyai kepentingan awam yang tinggi.

Beliau berkata kehadiran Perdana Menteri di Dewan Rakyat bagi sidang khas itu amat penting, bagi memberi penjelasan komprehensif khususnya apabila perkara itu dibangkitkan oleh Anwar sendiri.

 Takiyuddin menjelaskan, keputusan ahli-ahli Parlimen Pas dan Parti Wawasan Negara (Wawasan) itu ekoran keputusan kerajaan yang hanya menjadikan laporan RCI TH sebagai sesi penerangan menteri.

‘’Keadaan itu berbeza dengan proses RCI sebelum ini yang dibentangkan di Parlimen untuk dibahaskan dan seterusnya dibuat keputusan melalui undian, Seorang menteri beri penerangan, ahli Parlimen boleh bertanya dan sebagainya. Itu sahaja tarafnya,” katanya.

Pada 29 Julai, laporan RCI setebal 211 halaman didedahkan kepada umum, yang mengandungi pelbagai penemuan berkaitan kelemahan pengurusan dan operasi institusi berkenaan bagi tempoh 2014 hingga 2020, selain mengemukakan 25 syor tindakan penambahbaikan dengan 75 peratus daripadanya telah dilaksanakan oleh TH setakat 30 Julai lepas.

Kerajaan mengumumkan penubuhan RCI pada 2021, diikuti pelantikan ahli-ahli RCI pada 20 Jan 2022, yang menyaksikan laporan RCI kemudianya dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong pada 30 Ogos 2022.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here