SEORANG pegawai dan dua anggota polis ditahan ketika berhibur di sebuah premis hiburan di Ipoh, Perak, dengan dua daripadanya didapati positif dadah.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, serbuan dijalankan pada 5 April lalu di dua premis di Bandar Baru Medan Ipoh dan Taman Ipoh.
Menurutnya, hasil pemeriksaan di pusat hiburan kedua mendapati, 87 pelanggan berusia 19 hingga 52 tahun positif dadah.
“Turut diperiksa dalam serbuan itu adalah seorang pegawai dan dua anggota polis yang sedang berhibur. Dua daripada anggota polis terbabit didapati positif dadah. Dua anggota polis itu berpangkat Koperal dan Lans Koperal berusia 26 dan 40 tahun dan bertugas di Johor,” katanya kepada Harian Metro.
Beliau berkata, Koperal terbabit positif ketamin, manakala seorang lagi rakannya, positif dadah methamphetamine, amphetamine dan ketamin.
“Manakala pegawai terbabit yang bertugas di Perak didapati negatif dadah. Tangkapan membabitkan 59 lelaki dan 28 wanita ditahan mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.
Kata beliau, tindakan itu membuktikan Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak berkomporomi walau siapa yang melakukan kesalahan termasuk anggota polis sendiri.


