DUA bekas pengarah sebuah syarikat pelaburan didakwa di dua mahkamah berasingan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini, atas pertuduhan menipu pelaburan minyak diesel serta menerima wang hasil daripada aktiviti haram (AMLA).
Tertuduh, Shamsul Rijal Mohd Yussof, 74, dan Hamidah Ab Hamid, 62, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Azrul Darus dan Norma Ismail.
Di hadapan Azrul, Shamsul didakwa menipu seorang lelaki berusia 49 tahun dalam pelaburan perniagaan minyak diesel sehingga mendorong mangsa membuat pindahan wang berjumlah RM725,000 ke akaun milik Syarikat Spectrum Global Sdn. Bhd. pada 26 Februari 2024 di sebuah bank di Desa Sri Hartamas.
Pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum satu tahun hingga 10 tahun, selain sebat dan denda jika sabit kesalahan.
Shamsul turut didakwa menerima wang tunai berjumlah RM20,000 pada 15 Mac 2024 di sebuah bank di Jalan Tun Razak yang merupakan hasil daripada aktiviti haram.
Perbuatan itu didakwa di bawah perenggan 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613).
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara sehingga 15 tahun serta didenda tidak kurang lima kali ganda nilai hasil haram atau RM5 juta, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.
Di hadapan Hakim Norma, Hamidah pula didakwa menerima wang berjumlah RM130,000 yang merupakan hasil daripada aktiviti haram daripada akaun semasa milik syarikat sama di sebuah bank di Suria KLCC antara 6 Mac hingga 29 Mac 2024.
Kedua-dua tertuduh turut didakwa atas satu lagi pertuduhan menerima wang hasil aktiviti haram berjumlah RM122,000 pada 26 Februari 2024.
Mahkamah membenarkan Shamsul diikat jamin sebanyak RM60,000 dengan seorang penjamin, manakala Hamidah dibenarkan jaminan sebanyak RM40,000.
Mahkamah kemudian menetapkan 8 Jun depan sebagai tarikh sebutan semula kes.


