SEORANG lelaki cedera di kaki selepas kereta dipandunya terbabas sebelum terjunam ke dalam longkang dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Jalan Parit Sikom–Parit Panjang, Kayu Ara Pasong di Pontian, awal pagi tadi.
Kejadian kira-kira jam 1.15 pagi itu turut menyebabkan sebuah lagi kereta terbakar hampir 70 peratus.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pontian, Pegawai Bomba Kanan I (PBK I) Syareel Md Arshad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 1.24 pagi.
Beliau berkata, kemalangan itu membabitkan sebuah Toyota dan Hyundai yang masing-masing dipandu dua lelaki.
“Ketika tiba di lokasi, anggota mendapati kereta Toyota sedang terbakar, manakala sebuah lagi kereta jenis Hyundai terjunam ke dalam longkang.
“Pemandu Toyota berusia 35 tahun berjaya menyelamatkan diri, manakala pemandu Hyundai berusia 56 tahun mengalami kecederaan di bahagian kaki,” katanya, lapor BH.
Menurutnya, mangsa yang cedera diserahkan kepada ahli keluarga sebelum dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan.
Operasi menyelamat dan pemadaman itu membabitkan tujuh anggota bomba dan ditamatkan sepenuhnya pada jam 2.07 pagi.





