MENTERI Komunikasi merangkap Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Seri Fahmi Fadzil enggan mengulas lanjut mengenai status rundingan kerjasama dan pembahagian kerusi antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Beliau berkata, beliau tidak terbabit secara langsung dalam rundingan berkenaan, justeru sukar untuk memberikan komen lanjut mengenai perkara itu.
“Banyak daripada perkara ini belum ada keputusan dan saya sendiri tidak terlibat, jadi agak sukar untuk saya memberi komen.
“Selain daripada maklumat yang Perdana Menteri sendiri telah nyatakan, lebih daripada itu sukar untuk saya beri komen,” katanya pada sidang media pasca mesyuarat Kabinet, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas sama ada rundingan pembahagian kerusi antara PH dan BN sudah bermula serta jumlah kerusi yang disasarkan PH dalam PRN Melaka akan datang.
Fahmi berkata, setiap parti mempunyai jadual atau timeline masing-masing yang telah ditetapkan untuk perbincangan berhubung perkara berkenaan.
“Saya percaya apa pun, di pelbagai pihak bagi parti masing-masing ada jadual ataupun timeline yang telah ditetapkan untuk perbincangan.
“Untuk pihak Pakatan Harapan dan PKR, boleh rujuk dengan Datuk Seri Amirudin Shari selaku Pengarah Pilihan Raya,” katanya.
Sebelum ini, Perdana Menteri yang juga Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan sebarang keputusan berhubung kerjasama pilihan raya antara PH dan BN akan dibincangkan di peringkat kepimpinan kedua-dua gabungan sebelum dimuktamadkan.




