SEORANG guru taska didenda RM800 oleh Mahkamah Majistret Klang hari ini selepas mengaku bersalah mencederakan kanak-kanak lelaki autistik berusia tujuh tahun pada 28 Ogos lalu.
Majistret Siti Zubaidah Mahat menjatuhkan hukuman itu terhadap Lenah Abdul, 43, dan memerintahkan tertuduh dipenjara tujuh hari jika gagal membayar denda.
Tertuduh yang juga ibu kepada lima anak membayar denda berkenaan, lapor FMT.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa sengaja menyebabkan kecederaan terhadap mangsa di sebuah taska di Taman Sentosa, di sini, kira-kira pukul 10 pagi, pada 28 Ogos lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 334 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga sebulan atau denda maksimum RM1,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Mengikut fakta kes, tertuduh memukul paha mangsa menggunakan penyangkut baju ketika memandikan kanak-kanak berkenaan.
Bapa mangsa kemudian menyedari terdapat kesan lebam pada tubuh anaknya sebelum meminta penjelasan daripada tertuduh dan membuat laporan polis.
Dalam rayuan meringankan hukuman, peguam Adam Rosli memaklumkan tertuduh hanya berpendapatan RM1,700 sebulan selain mempunyai seorang anak autistik.
Katanya, pada hari kejadian, mangsa mengeluarkan najis daripada lampin pakai buang sebelum mencalitkannya pada dinding taska sehingga kotor dan bertindak agresif.
“Tertuduh perlu memantau tujuh kanak-kanak di bawah jagaannya dan pada hari kejadian keadaan menjadi di luar kawalannya sehingga dia bertindak seperti dalam pertuduhan,” katanya.





