Harga pamer RM11.50, pelanggan dikenakan RM13.20 – KPDN

DUA premis perniagaan di Kuching berdepan tindakan undang-undang selepas dikesan mempamerkan harga mengelirukan, termasuk mengenakan bayaran RM13.20 bagi barangan yang dipamerkan pada harga RM11.50.

Kesalahan itu dikesan dalam operasi pemeriksaan oleh sepasukan anggota penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Sarawak di beberapa premis perniagaan sekitar Kuching, Rabu lalu.

Pengarah KPDN Sarawak, Matthew Dominic Barin berkata, hasil pemeriksaan mendapati dua kesalahan mengikut Seksyen 12(1)(a) Akta Perlindungan Pengguna 1999, iaitu memberi gambaran mengelirukan mengenai harga barang yang dipamerkan untuk tujuan perdagangan.

Beliau berkata, kes pertama dikesan kira-kira jam 11.22 pagi di sebuah premis di Sejingkat apabila peniaga mengenakan bayaran RM13.20 bagi satu produk, sedangkan harga yang dipamerkan ialah RM11.50.

Menurutnya, perbezaan RM1.70 itu menyebabkan pelanggan mengalami kerugian dan pelanggan terbabit sudah memaklumkan perkara berkenaan kepada peniaga serta meminta bayaran dikenakan mengikut harga yang dipamerkan.

“Bagaimanapun, peniaga berkeras dan enggan memberikan harga seperti yang dipaparkan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Susulan itu, pihak penguat kuasa menyita satu salinan lesen ordinan perniagaan, empat resit jualan, satu tanda harga dan satu tanda harga promosi bagi membantu siasatan lanjut.

Matthew berkata, kes kedua pula dikesan kira-kira jam 12.43 tengah hari di sebuah premis di Stutong yang turut disyaki melakukan kesalahan memberi gambaran mengelirukan mengenai harga barang yang dipamerkan.

Katanya, dalam pemeriksaan itu, penguat kuasa menyita satu salinan lesen ordinan perniagaan dan sepasang kasut bernilai RM29.90 bagi tujuan siasatan lanjut.

“Semua kes akan disiasat mengikut Akta Perlindungan Pengguna 1999,” katanya.

Mengikut Seksyen 12(1)(a) Akta Perlindungan Pengguna 1999, individu yang melakukan kesalahan pertama boleh didenda sehingga RM50,000 atau dipenjarakan maksimum tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Bagi kesalahan kedua atau berikutnya, individu boleh didenda sehingga RM100,000 atau dipenjarakan sehingga lima tahun atau kedua-duanya.

Bagi syarikat pula, denda sehingga RM100,000 boleh dikenakan bagi kesalahan pertama, manakala denda sehingga RM200,000 bagi kesalahan kedua dan seterusnya.

Matthew berkata, KPDN Sarawak akan terus mempergiat pemantauan dan penguatkuasaan bagi memastikan peniaga tidak memberikan gambaran mengelirukan kepada pengguna berhubung harga barangan.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here