Ismail dijangka menghadap Tuanku Muhriz Jumaat ini, bincang kedudukan Exco

MENTERI Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim dijangka menghadap Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir Jumaat ini bagi membincangkan kedudukan barisan Exco serta perjalanan persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Perkara itu dimaklumkan sumber yang berkata, pertemuan berkenaan menyusul selepas Ismail menghadap Tuanku Muhriz di Istana Hinggap di Seremban petang semalam susulan kemelut berkaitan surat peletakan jawatan beliau.

“Betul, beliau akan terus menjalankan tugas sebagai MB seperti biasa,” katanya, lapor FMT.

Menurut sumber itu, pertemuan Jumaat ini turut dijangka menyentuh kemungkinan mengekalkan barisan Exco terdahulu bagi memastikan urusan pentadbiran kerajaan negeri berjalan lancar.

“Jumaat ini akan ada lagi perjumpaan untuk membincangkan kemasukan Exco dan sidang dewan.

“Kita harap semua pihak bertenang dan terus mendoakan yang terbaik,” kata sumber itu.

Perkembangan terbaharu itu berlaku selepas 10 bekas Exco Negeri Sembilan hari ini menarik balik saman pemula yang difailkan bagi mencabar pembatalan pelantikan mereka.

Mahkamah Tinggi Seremban membenarkan permohonan berkenaan tanpa kebebasan untuk memfailkan semula, selain memerintahkan kesemua plaintif membayar kos keseluruhan RM48,000 kepada pihak defendan.

Kemelut kedudukan Exco itu membabitkan tujuh wakil rakyat UMNO iaitu Datuk Mohd Faizal Ramli (ADUN Linggi), Datuk Zaifulbahri Idrisi (ADUN Chembong), Datuk Mustapha Nagoor (ADUN Palong), Datuk Mohd Asna Amin (ADUN Lenggeng), Datuk Mohd Razi Mohd Ali (ADUN Sungai Lui), Suhaimizan Bizar (ADUN Gemencheh) dan Siti Nur Umaira Hasim (ADUN Labu).

Tiga lagi ialah Siow Kong Choon (ADUN Chennah) daripada MCA, Mohd Fairuz Mohd Isa (ADUN Serting) daripada Pas dan Datuk Razali Abu Samah (ADUN Sikamat) daripada Parti Wawasan Negara (Wawasan).

Isu berkenaan kembali menjadi perhatian selepas Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir mengesahkan parti itu menerima salinan surat peletakan jawatan Ismail yang didakwa dikemukakan kepada Tuanku Muhriz.

Bagaimanapun, Istana Negeri Sembilan menjelaskan peletakan jawatan Menteri Besar hanya berkuat kuasa selepas mendapat perkenan Tuanku Muhriz, selaras dengan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan.

Istana turut memaklumkan bahawa kesahihan surat peletakan jawatan yang dikaitkan dengan Ismail masih belum disahkan.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here