TIADA insiden serangan siber berskala besar yang menyebabkan kebocoran data rakyat dilaporkan setakat ini, meskipun terdapat dakwaan penyebaran maklumat berkenaan menerusi laman ‘dark web’.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, dakwaan yang tular itu masih belum dapat disahkan dan berkemungkinan membabitkan data lama yang pernah terdedah sebelum ini.
“Ada beberapa pihak yang membuat dakwaan dalam beberapa laman ‘dark web’ yang mengatakan data rakyat Malaysia telah dicuri daripada sekian-sekian tempat, tapi itu tidak boleh disahkan.
“Kadang-kadang ia adalah data lama yang telah berlaku, tidak ada setakat ini insiden yang dilaporkan oleh pihak Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menghadiri Forum Gelombang Kecerdasan Buatan, Langkah Malaysia Seterusnya di Festival Idea Putrajaya hari ini, lapor Buletin TV3.
Mengulas ancaman keselamatan digital pula, Fahmi berkata, penyalahgunaan ejen kecerdasan buatan (AI) untuk melancarkan serangan siber secara besar-besaran atau ‘swarm cyber security attack’ antara risiko yang semakin membimbangkan.
Katanya, ancaman berkenaan sudah dikesan di beberapa negara dan menjadi antara faktor model AI termaju tertentu tidak diberikan akses secara terbuka kepada orang ramai.
Sehubungan itu, NACSA akan terus memantau perkembangan ancaman berkenaan serta mengambil tindakan sekiranya terdapat petunjuk ia mula mengancam keselamatan siber agensi kerajaan dan infrastruktur digital negara.
Dalam perkembangan berkaitan, Fahmi berkata, kerajaan sedang mempercepatkan usaha migrasi kuantum bagi memperkukuh keselamatan sistem komunikasi serta infrastruktur telekomunikasi negara.
Beliau turut meminta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), NACSA serta syarikat telekomunikasi dan pengendali rangkaian gentian optik, termasuk Telekom Malaysia dan TIME, bekerjasama mengenal pasti langkah yang perlu dilaksanakan.
Usaha itu turut disokong melalui penyediaan Pelan Migrasi Kuantum atau Quantum Migration Plan oleh NACSA bersama Pusat Koordinasi dan Kawalan Keselamatan Siber Negara (CSCDC) di bawah Majlis Keselamatan Negara (MKN).





