ITU PP-26: Pelantikan wakil Malaysia sebagai pengerusi Jawatankuasa 5 cermin keyakinan antarabangsa

PELANTIKAN wakil Malaysia sebagai pengerusi Jawatankuasa 5 pada Persidangan Plenipotensiari Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa 2026 (ITU PP-26) mencerminkan keyakinan masyarakat antarabangsa terhadap keupayaan negara memainkan peranan berkecuali dalam mengimbangi kepentingan pelbagai pihak.

Pengerusi jawatankuasa itu, Eneng Faridah Iskandar berkata, pelantikan berkenaan bukan sekadar pengiktirafan peribadi, sebaliknya satu kejayaan besar negara.

“Saya rasa itu bukan sahaja satu kejayaan (tapi) merupakan kejayaan negara sebenarnya kerana Malaysia ini dilihat sebagai satu negara yang berkecuali dan boleh menerima pandangan kesemua pihak.

“Jadi, tugas sebagai pengerusi ini sebenarnya kita perlu mengimbangi kepentingan dan keinginan semua pihak. Jadi, kita harus berlaku adil,” katanya kepada Bernama dan RTM di Doha, Qatar hari ini.

Sehubungan dengan itu, Eneng Faridah yang juga Timbalan Pengarah Urusan (Pembangunan) Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) merakamkan penghargaan kepada kerajaan Malaysia atas kepercayaan mencalonkan namanya bagi menggalas amanah berkenaan pada persidangan yang berlangsung dari 9 hingga 27 November ini.

Beliau berkata, jawatan itu membawa amanah besar kerana bukan sahaja mewakili Malaysia, malah perlu mengambil kira kepentingan semua negara anggota yang terlibat dalam perbincangan.

Mengulas peranan Jawatankuasa 5, Eneng Faridah menjelaskan bahawa jawatankuasa substantif itu bertanggungjawab memperhalusi pelbagai isu berkaitan dasar dan perundangan dalam kerangka ITU.

Lebih 95 cadangan merangkumi lebih 40 resolusi telah diterima untuk dibincangkan sepanjang persidangan kali ini.

“Antara cabaran utama adalah bertindak sebagai perantara kepada pelbagai pihak yang mempunyai kepentingan bagi mencapai persetujuan bersama, memandangkan ITU beroperasi berasaskan konsep konsensus,” jelasnya.

Beliau berkata, beberapa siri pertemuan awal telah diadakan sebagai persiapan menjelang mesyuarat jawatankuasa, yang dijadual bermula esok bagi memastikan proses rundingan berjalan lancar.

Sebagai antara jawatankuasa utama dalam ITU PP-26, Jawatankuasa 5 yang dikenali Jawatankuasa Dasar dan Perundangan bertanggungjawab membincangkan cadangan dasar serta peraturan telekomunikasi antarabangsa, selain meneliti resolusi yang dikemukakan negara anggota ITU.

Pengerusinya memainkan peranan penting dalam mengendalikan rundingan, mengimbangi kepentingan serta merapatkan perbezaan pandangan antara negara anggota bagi mencapai konsensus, sebelum hasil perbincangan jawatankuasa berkenaan dikemukakan untuk pertimbangan dan keputusan persidangan.

PP-26 yang berlangsung di Doha merupakan persidangan tertinggi ITU yang diadakan setiap empat tahun bagi menentukan hala tuju, dasar dan pelan strategik organisasi berkenaan.

Delegasi Malaysia ke persidangan itu diketuai Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil dengan misi mempertahankan kerusi dalam Majlis ITU bagi penggal 2027-2030.

ITU merupakan agensi khusus Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi hal ehwal teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), merangkumi penetapan piawaian global, pengagihan spektrum radio dan penyelarasan satelit serta usaha merapatkan jurang digital sejagat.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here