Jabatan Imigresen tahan tujuh individu terlibat sindiket jual cap keselamatan palsu kepada warga asing

SINDIKET menjual cap keselamatan palsu kepada warga asing yang mahu menetap lama di negara ini tumpas susulan serbuan Jabatan Imigresen (JIM) di sebuah rumah di Seri Kembangan, Serdang semalam.

Dalam serbuan itu, tujuh individu termasuk tiga wanita warga Vietnam ditahan kerana dipercayai terlibat dalam sindiket itu yang menyasarkan warga Vietnam, Indonesia dan Thailand.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, pelanggan akan cuba mendapatkan khidmat sindiket itu dengan tujuan memperoleh cap kelulusan atau `endorsement’ yang diuruskan sindiket berkenaan tanpa mengetahui cap keselamatan itu adalah palsu.

“Berdasarkan siasatan awal, setiap urusan dipercayai dikenakan bayaran antara RM2,500 hingga RM3,000 bagi satu dokumen,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor Sinar Harian.

Zakaria berkata, pihaknya sebelum itu menerima maklumat mengenai dua suspek iaitu lelaki warga tempatan yang menaiki bas dari Terminal Bas Larkin di Johor menuju Terminal Bersepadu Selatan (TBS).

“Sepasukan pegawai dan anggota diatur gerak dan berjaya mengesan pergerakan kedua-dua suspek di sekitar TBS.

“Pasukan operasi seterusnya mengekori sebelum menahan mereka ketika memasuki premis kediaman di sebuah rumah di Seri Kembangan, yang disyaki menjadi lokasi persembunyian beberapa individu lain,” katanya.

Zakaria berkata, kesemua tujuh suspek yang ditahan berusia antara 20 hingga 35 tahun kini disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63.

“JIM tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dalam pemalsuan dokumen, melindungi atau menggaji warga asing tanpa dokumen sah,” katanya.

 

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial

Terkini

spot_imgspot_img

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_imgspot_img