MISTERI sebuah kereta yang ditinggalkan di alat penimbang kenderaan terbongkar apabila di dalamnya memuatkan dadah jenis ganja dan bunga ganja seberat 240 kilogram di tapak pembinaan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di Jalan Lama Bentong-Bukit Tinggi di Bentong, Pahang baru-baru ini.
Keseluruhan dadah yang dianggarkan bernilai RM5.34 juta itu ditemui jam 11.30 pagi, 4 November lalu.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, sepasukan polis bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima laporan daripada pihak kontraktor projek itu mengenai sebuah kereta dalam keadaan mencurigakan ditinggalkan di tapak pembinaan itu.
Katanya, hasil pemeriksaan polis menemukan 120 bungkusan plastik lutsinar berisi bunga ganja dalam sembilan kotak dalam kereta itu.
“Turut dijumpai 120 bungkusan plastik lutsinar berisi ganja dalam empat guni.
“Berdasarkan maklumat kereta itu sudah ditinggalkan beberapa jam di atas alat penimbang kenderaan di tapak projek itu.
“Berdasarkan semakan kenderaan itu menggunakan nombor pendaftaran sebenar dan kereta itu milik individu berasal dari Johor,” katanya pada sidang media di Kuantan hari ini, lapor Harian Metro.
Yahaya berkata, polis sedang mengesan pemilik kenderaan terbabit untuk membantu siasatan.
Menurutnya, siasatan sedang dilakukan untuk mengetahui motif dadah itu ditinggalkan di tapak pembinaan terbabit.
Katanya, polis tidak menolak kemungkinan ganja dan bunga ganja itu dibawa individu dipercayai mengambil upah atau bertindak sebagai ‘transporter’ dadah.
“Siasatan sedang dilakukan dan sehingga kini belum ada tangkapan dilakukan,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 39b, Akta Dadah Berbahaya 1952.



