Jangan biarkan suara ahli Pas di muktamar bagaikan sekadar ‘kek sarang semut’

ANALISIS

MUKTAMAR Tahunan Pas Kali Ke-71 yang berakhir semalam di Kota Sarang Semut, Alor Setar dianggap membuka lembaran baru kepada perjalanan politik parti itu. Kuat dan jelas laungan serta keazaman daripada pemimpin dan ahli Pas untuk memastikan Pas akan menerajui Perikatan Nasional (PN).

Benar kata Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa cadangan Pas itu akan dibincangkan dan diputuskan oleh Majlis Presiden PN minggu depan tetapi persoalannya adakah berbanding dengan Bersatu dan Gerakan, Pas tidak layak menjadi peneraju?

Sebagai parti tunggal mempunyai kerusi paling banyak di Parlimen, sebagai parti tunggal yang  memerintah empat negeri dan sebagai parti yang pemimpin tiada apa-apa masalah integriti, dengan jentera pilihan raya Pas menjadi ‘jantung’ kepada PN,  apakah itu belum melayakkan Pas menjadi peneraju PN?

Kepimpinan Pas perlu bertegas untuk melaksanakan usul yang diluluskan muktamar bahawa Pas  perlu mengetuai PN, bukan lagi mengikut rentak politik yang dicaturkan oleh segelintir pemimpin Bersatu.

Lagipun adakah hanya pemimpin Bersatu  layak memimpin PN atau berhak menamakan calon PM sebab mereka ada bekas Perdana Menteri? Adakah kerana Pas sering dilabel sebagai parti ekstremis maka mereka tidak layak menerajui PN? Adakah Pas benar-benar ekstremis? Kenapa perlu terperangkap hujah-hujah jahil musuh politik Pas?

Dulu musuh-musuh politik tersebut berkata, Pas sepatutnya menerajui PN tetapi bila Pas kata dah bersedia, mereka kata rakyat bukan Islam tak boleh terima Pas. Dulu mereka kata, Pas perlu namakan calon Perdana Menteri tetapi bila Pas kata mereka akan menamakan calon berkenaan selepas menang pilihan raya, mereka kata pemimpin Pas belum cukup pengalaman!

Sebenarnya semua hujah-hujah itu tidak ada bezanya dengan perangai segelintir pemimpin Bersatu yang merasakan hanya Bersatu ada calon PM, hanya Bersatu sahaja mampu menangkan PN dan hanya pendekatan politik Bersatu diterima oleh masyarakat majmuk.

 Pandangan seumpama itu hanya dilontarkan oleh kelompok yang masih dibuai dengan nostalgia. Mereka merasakan Bersatu sahaja boleh pastikan PN memerintah, mereka masih bernostalgia bahawa aura ‘abah’ masih belum berubah. Sedangkan kemenangan Pas di empat negeri dan menjadi pembangkang utama di Perak dan Pahang sudah menjadi bukti siapa paling layak menerajui PN.

Perkembangan selepas PRU-15 pula membuktikan apapun orang kata terhadap Pas, apapun orang tafsir terhadap politik Pas, faktanya Pas paling layak menerajui PN. Pas pun ada calon jadi PM, Pas pun ada ramai cerdik pandai untuk berada di situ.

Janganlah ingat hanya bekas Perdana Menteri sahaja layak kembali duduk di jawatan tersebut. Pas pun ada bekas menteri, kalau Pas mahu orang Bersatu, Bersatu pun ada beberapa bekas menteri yang mempunyai rekod baik serta telah melakukan banyak pengorbanan bukan sahaja kepada Bersatu tetapi juga PN.

Sepatutnya pemimpin Bersatu memahami mesej  dari ‘Kota Sarang Semut’ gejolak perasaan pemimpin, ahli dan penyokong Pas yang mahu Pas mengetuai PN, tetapi kalau Bersatu khususnya kelompok yang beria-ia sangat mahu Muhyiddin jadi PM dan menganggap parti mereka paling layak mengetuai  PN, rajin-rajinlah cermin diri dan ingatlah kata-kata Ketua Pilihan Raya Pas dan PN, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor semalam;

‘’Sebelum ni semua peralatan itu kita bayar, depa mai bertanding syok aja. Habis tu nak jadi ketua? Duit tak dak, jentera tak dak, (harap) kita (Pas) semua. Jangan sampai kita ungkit ke semua.’’

Harap kata-kata Sanusi ‘mengejutkan’ segelintir pemimpin Bersatu yang ‘masih bernostalgia’ dengan perjalanan politik  sebelum PRU-15 dan mengubati ‘penyakit kronik’ yang menganggap hanya  ‘bos’ mereka layak jadi PM.

Kesimpulannya Pas perlu bertegas, pastikan apa yang diputuskan di Kota Sarang Semut itu benar-benar menjadi ‘semut’ yang menggigit. Jangan semasa muktamar bergegar Kota Sarang Semut mahu  Pas teraju PN, bila dah habis muktamar rupanya ia sekadar ‘kek sarang semut’ untuk meraikan hari jadi Presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang Ke-78 pada 20 Oktober nanti . Harap tak begitu.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus

IG:
Utusan Melayu Plus

TikTok:
@utusanmelayuplusofficial

Whatapps Channel:
UTUSAN MELAYU PLUS


Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_imgspot_img