SERBUAN ke atas tujuh premis pusat hiburan di sekitar Dang Wangi, Kuala Lumpur awal pagi tadi membawa kepada penahanan 52 warga asing atas pelbagai kesalahan imigresen.
Operasi penguatkuasaan bersepadu dikenali sebagai Ops Gegar itu dijalankan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kuala Lumpur bermula kira-kira jam 1.30 pagi.

JIM Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dalam kenyataan memaklumkan, operasi berkenaan membabitkan kekuatan 74 pegawai penguat kuasa JIM KL bersama 18 pegawai Pasukan Taktikal Khas (Pastak).
Menurut kenyataan itu, serbuan dilakukan hasil risikan serta maklumat orang awam berhubung kehadiran warga asing yang disyaki bekerja secara tidak sah dan menyalahgunakan pas lawatan.
“Seramai 170 individu diperiksa dalam operasi itu, dan 52 daripadanya membabitkan 23 lelaki dan 29 wanita ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen.
“Pihak Imigresen turut mengeluarkan lima notis Borang 29 (Saman Kepada Saksi) kepada wakil premis bagi membantu siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut JIM, kesemua yang ditahan dipercayai melakukan pelbagai kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 serta Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
Antara kesalahan dikesan termasuk tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah, tinggal di negara ini selepas tamat tempoh dibenarkan dan melanggar syarat pas yang diberikan.
“Kesemua tahanan kemudian dibawa ke Depot Imigresen Bukit Jalil bagi menjalani proses dokumentasi serta siasatan lanjut,” katanya.
Sementara itu, Pengarah JIM Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Datuk Hamsha Injau menegaskan pihaknya tidak akan berkompromi dengan pengurusan premis atau majikan yang didapati bersekongkol melindungi atau menggaji pendatang asing tanpa izin (PATI).
“Penguatkuasaan akan terus diperhebat dari semasa ke semasa demi memastikan kedaulatan dan keselamatan undang-undang negara sentiasa terpelihara,” katanya.




