Lima resolusi AOX 2026 buka peluang Malaysia jadi hab industri pacuan empat roda Asia

MALAYSIA berpotensi muncul sebagai hab industri pacuan empat roda (off-road) dan mobiliti pengembaraan Asia menerusi lima resolusi strategik yang diketengahkan pada Asia Offroad Expo & Convention (AOX) 2026.

Resolusi itu meliputi keselamatan jalan raya, pemuliharaan alam semula jadi, pembangunan hab pembuatan dan pengedaran, penyelarasan piawaian industri serta elektrifikasi bagi membentuk ekosistem yang lebih selamat, bertanggungjawab dan berdaya saing.

Pengasas dan Pengerusi Penganjur AOX, Thomas Foo berkata, platform itu diwujudkan untuk menyatukan pemain industri dalam usaha memajukan sektor pacuan empat roda, selain mempromosikan Malaysia sebagai hab industri dan pengembaraan serantau.

THOMAS Foo

Menurutnya, usaha berkenaan memerlukan kerjasama antara pengeluar kenderaan, pembekal peralatan, penyedia teknologi, agensi kerajaan, persatuan industri dan sektor pelancongan.

“Lima resolusi itu mengetengahkan cadangan serta penglibatan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), Institut ESG Malaysia (MiESG), Persatuan Pacuan Empat Roda Malaysia, Victron Energy dan Surron,” katanya dalam kenyataan hari ini sempena perasmian AOX 2026 di ibu negara.

Dianjurkan Explorer Outfitter Sdn Bhd, AOX 2026 yang berlangsung dari 23 hingga 25 Oktober di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, menghimpunkan penggiat industri, pengeluar, pengedar, komuniti pengembaraan dan organisasi berkaitan dari dalam serta luar negara.

MAJLIS perasmian Asia Offroad Expo & Convention (AOX) 2026 di WTC Kuala Lumpur semalam. GAMBAR: AOX

Majlis perasmian turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif MyCEB, Tan Mei Shin; Pengarah Urusan Kumpulan WTC Kuala Lumpur, Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim; Pengarah Pusat Penyelidikan Keselamatan Kenderaan dan Biomekanik MIROS, Zulhaidi Mohd Jawi serta Presiden MiESG, Muhammad Sarhan Ismail.

Menurut Thomas, resolusi pertama yang dicadangkan MIROS memberi tumpuan kepada keselamatan penggunaan kenderaan pacuan empat roda dan kenderaan pengembaraan di jalan raya awam melalui pendidikan, kesedaran serta kerjasama pemilik kenderaan, pemandu, kelab dan penganjur ekspedisi.

Katanya, resolusi kedua pula mencadangkan Piagam Pengembaraan Pacuan Empat Roda Bertanggungjawab dan Pemuliharaan Alam Semula Jadi Asia oleh MiESG, yang menggariskan amalan pengembaraan beretika, pengurusan sisa, pencegahan pencemaran serta perlindungan hidupan liar, habitat sensitif dan komuniti setempat.

Sementara itu bagi resolusi ketiga, Persatuan Pacuan Empat Roda Malaysia mencadangkan pembangunan Asia sebagai hab global pembuatan dan pengedaran kenderaan pacuan empat roda serta produk mobiliti pengembaraan. Inisiatif itu bertujuan memperkukuh rantaian bekalan, menarik pelaburan dan membuka akses kepada pasaran antarabangsa.

“Resolusi keempat pula mengetengahkan Kerangka Penyelarasan Piawaian Keselamatan, Pematuhan dan Kualiti Asia, dengan Victron Energy dinamakan sebagai penyumbang industri yang dicadangkan. Kerangka itu bertujuan menggalakkan penyelarasan garis panduan teknikal, keperluan peralatan, kualiti produk dan amalan penyelenggaraan.

“Resolusi kelima memberi tumpuan kepada Pelan Hala Tuju Elektrifikasi dan Mobiliti Pengembaraan Mampan, dengan Surron sebagai penyumbang industri yang dicadangkan. Ia menggalakkan penerokaan teknologi mobiliti elektrik, kecekapan tenaga, infrastruktur pengecasan, keselamatan bateri dan pengurusan bateri selepas tamat hayat,” jelas Thomas.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here