JIM tiada kompromi terhadap pegawai terlibat rasuah, salah guna kuasa

JABATAN Imigresen Malaysia (JIM) tidak akan melindungi mana-mana pegawai atau anggotanya yang terbabit dalam salah laku termasuk rasuah dan penyalahgunaan kuasa, sebaliknya tindakan tegas akan diambil tanpa sebarang kompromi.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, pendirian itu selaras dengan usaha memperkukuh integriti jabatan serta memastikan setiap pegawai melaksanakan amanah dan tanggungjawab secara profesional.

Menurutnya, JIM masih menerima maklumat mengenai pembabitan segelintir pegawai yang dipercayai bersubahat dalam kegiatan flying passport, counter setting serta meluluskan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) secara tidak teratur.

“Saya bagi amaran berulang kali dan sekarang ini tidak ada amaran. Tidak ada lagi amaran dan tidak ada lagi peringatan. Kita akan terus ambil tindakan terhadap pegawai yang terlibat dalam salah laku,” katanya ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan JIM di Putrajaya, hari ini.

Zakaria berkata, pihaknya turut memperoleh maklumat awal mengenai penglibatan pegawai dan anggota JIM dalam kes penggodaman Sistem Imigresen Malaysia (MyIMMs) yang membabitkan proses permohonan serta kelulusan PLKS.

Katanya, JIM bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sengaja tidak bertindak terburu-buru bagi membolehkan siasatan dijalankan secara menyeluruh sehingga berjaya mengenal pasti dalang sebenar.

“Sebenarnya hari pertama perkara itu berlaku kita telah dapat kenal pasti bahawa pegawai yang terlibat sebenarnya tahu, tetapi saya ambil pendekatan kalau saya terus hentikan, kita tidak dapat tangkap siapa yang terlibat.

“Sebab itu kita biarkan sehingga kita mengumpul bukti siapa yang menjadi culprit ataupun dalang dalam urusan ini,” katanya.

Beliau turut mengingatkan seluruh warga JIM supaya menghentikan sebarang bentuk salah laku sebelum tindakan diambil, selain menegaskan setiap urusan dan transaksi berkaitan jabatan akan terus dipantau.

“Apa yang saya harapkan perkara yang berlaku ini dijadikan pengajaran oleh pegawai lain. Kalau ada yang sedang melakukan sesuatu, berhenti sebelum kita ambil tindakan. Macam yang saya sebut sebelum ini, saya ada maklumat,” katanya.

Pada Selasa lalu, lima lagi pegawai JIM ditahan SPRM kerana disyaki bersubahat menggodam sistem MyIMMs bagi memproses permohonan serta kelulusan PLKS secara tidak sah.

Sebelum ini, Zakaria memaklumkan JIM akan membatalkan semua PLKS yang dikenal pasti diluluskan menerusi sindiket yang terbabit dalam kegiatan penggodaman sistem MyIMMs menerusi Ops Crack.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img