Juruterbang ditahan seludup dadah di Indonesia tidak kendali penerbangan – MAG

MALAYSIA Aviation Group (MAG) mengesahkan juruterbangnya yang ditahan di Indonesia kerana disyaki terbabit dalam cubaan menyeludup dadah bukan individu yang mengendalikan penerbangan Malaysia Airlines MH727 dari Kuala Lumpur ke Jakarta pada 29 Julai lalu.

MAG dalam kenyataan hari ini memaklumkan individu berkenaan merupakan pegawai kedua yang berada di tempat duduk pemerhati kokpit (cockpit jump seat) dan bukannya juruterbang yang mengendalikan pesawat berkenaan.

Menurutnya, individu itu juga tidak bertugas selama dua hari sebelum kejadian berkenaan.

“Pesawat terbabit dikendalikan dengan selamat pada setiap masa oleh dua juruterbang operasi yang bertauliah,” menurut kenyataan itu.

Pengesahan itu dibuat susulan penahanan seorang juruterbang warga Malaysia berusia 39 tahun di Terminal 3 Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta, Jakarta kerana disyaki cuba menyeludup lebih 70,000 pil ekstasi seberat 25 kilogram.

Susulan insiden itu, MAG mewajibkan saringan dadah terhadap semua 1,260 juruterbang Malaysia Airlines sebagai langkah memperkukuh keselamatan operasi penerbangan.

Menurut kenyataan itu, proses saringan yang telah dimulakan dijangka selesai pada 15 Ogos ini.

“Juruterbang yang gagal melengkapkan saringan dalam tempoh ditetapkan tidak akan dibenarkan mengendalikan penerbangan sehingga mereka disahkan bebas daripada sebarang isu berkaitan, selaras dengan prosedur MAG serta keperluan kawal selia,” katanya.

Selain itu, MAG memaklumkan saringan dadah mandatori akan dilaksanakan terhadap semua juruterbang aktif sebagai tambahan kepada program ujian rawak sedia ada sebelum diperluaskan kepada kru kabin.

MAG menegaskan tindakan individu terbabit tidak boleh diterima sama sekali kerana bertentangan dengan piawaian profesional yang ditetapkan terhadap semua warga kerjanya.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAG, Kapten Nasaruddin A. Bakar berkata, keselamatan operasi serta tahap kesiapsiagaan kru merupakan perkara yang tidak boleh dikompromi.

“Kami memandang serius sebarang pelanggaran terhadap piawaian keselamatan dan telah mengambil tindakan segera dengan memperkukuh saringan dadah mandatori dalam kalangan juruterbang aktif.

“Walaupun insiden terpencil ini tidak mencerminkan profesionalisme majoriti besar warga kerja kami, kami akan terus memperkukuh langkah perlindungan bagi mengekalkan keyakinan penumpang serta pihak berkepentingan,” katanya.

Menurut MAG, setiap juruterbang operasi perlu melengkapkan penilaian IMSAFER sebelum penerbangan bagi menilai tahap kesiapsiagaan fizikal dan mental, selain mengamalkan prinsip Threat and Error Management (TEM) untuk mengenal pasti serta mengurus risiko operasi.

Tambah kenyataan itu, MAG akan terus bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa penerbangan, agensi penguat kuasa dan badan kawal selia bagi memperkukuh langkah pencegahan serta memastikan pematuhan terhadap semua keperluan peraturan dalam operasi penerbangan.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img