Kanak-kanak lemas parit : Bedah siasat sahkan tiada unsur jenayah – Polis

KEPUTUSAN bedah siasat mengesahkan kanak-kanak lelaki autistik berusia enam tahun yang ditemukan meninggal dunia di dalam longkang berhampiran rumahnya di Kampung Baru Sungai Sumun, Bagan Datuk meninggal dunia akibat lemas tanpa sebarang unsur jenayah.

Ketua Polis Daerah Bagan Datuk, Superintendan Mohammad Ali Mohd Jali berkata, pemeriksaan forensik yang dijalankan di Hospital Teluk Intan mendapati punca kematian mangsa adalah lemas dan tiada kecederaan fizikal dikesan pada tubuhnya.

Beliau berkata, mangsa, Muhammad Faith Fatih Abdullah Fattah, dilaporkan hilang dari rumah keluarganya pada jam 4.54 petang semalam.

“Siasatan awal mendapati kanak-kanak itu kali terakhir dilihat bapanya berada di ruang tamu rumah sebelum ahli keluarga menyedari mangsa tiada di dalam rumah.

“Pencarian segera dilakukan oleh keluarga dengan bantuan penduduk sekitar kawasan ladang kelapa sawit berhampiran namun gagal menemukan mangsa sebelum laporan polis dibuat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Susulan laporan diterima, polis membuka pos kawalan tempat kejadian dan melancarkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Hutan Melintang, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Bagan Datuk, Unit K9 Kontinjen Polis Perak serta penduduk kampung.

Menurut beliau, operasi turut diperluaskan ke kawasan ladang kelapa sawit di belakang rumah mangsa berdasarkan maklumat dan laluan yang dipercayai digunakan kanak-kanak itu.

“Pada jam 10 malam hari sama, mangsa ditemukan terapung di dalam longkang kira-kira 330 meter dari rumah keluarganya.

“Mangsa ditemui masih berpakaian lengkap sebelum mayat dibawa keluar dan dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Teluk Intan untuk tindakan lanjut,” katanya.

Mohammad Ali berkata, hasil pemeriksaan awal dan bedah siasat mengesahkan tiada sebarang unsur jenayah atau kecederaan yang mencurigakan dan kes diklasifikasikan sebagai Laporan Mati Mengejut (SDR).

Beliau turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa serta penghargaan kepada semua agensi dan penduduk yang terlibat dalam operasi pencarian.

“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih berhubung insiden ini demi menghormati privasi keluarga mangsa,” katanya.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img