JEMAAH Menteri mengarahkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Pengangkutan (MOT) mengemukakan pelan komprehensif bagi menambah baik kawalan keselamatan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dalam tempoh dua minggu.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, arahan itu susulan kebimbangan kerajaan terhadap insiden terbaru yang dilihat boleh menjejaskan imej negara selain menimbulkan persepsi bahawa wujud kelemahan dalam sistem kawalan keselamatan di premis berkenaan.
Langkah segera sedang diambil bagi merangka pelan penambahbaikan yang melibatkan pelbagai agensi berkaitan, tambahnya.
“Jemaah Menteri memandang serius insiden yang berlaku kerana ia memberi gambaran seolah-olah kawalan keselamatan di lapangan terbang kita bolos.
“Justeru, pelan penambahbaikan terperinci akan dirangka dengan penglibatan pelbagai agensi bagi memastikan tahap keselamatan terus diperkukuh,” katanya pada sidang media.
Terdahulu, beliau mengadakan lawatan dan tinjauan keselamatan di beberapa lokasi dalam Zon Selamat Sabah Timur (ESSZone) bersama delegasi perwakilan asing yang turut disertai Komander Esscom Victor Sanjos serta Ketua Pegawai Eksekutif Esscom Jamaluddin Ali.
Isu kawalan keselamatan lapangan terbang mendapat perhatian susulan beberapa kes melibatkan rakyat Malaysia kebelakangan ini, termasuk penahanan seorang juruterbang Malaysia selepas kira-kira 25kg dadah jenis MDMA dirampas di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta, Indonesia, minggu lepas.
Dalam perkembangan berkaitan, Saifuddin Nasution berkata, KDN terus mempergiat usaha bersama diplomat dan perwakilan asing bagi menilai semula serta melonggarkan nasihat perjalanan terhadap pantai timur Sabah susulan tahap keselamatan kawasan itu yang semakin terjamin.
Katanya, beberapa negara termasuk Jepun dan Switzerland telah meminda nasihat perjalanan mereka hasil penerangan berterusan kerajaan serta bukti kestabilan persekitaran keselamatan tempatan.
“Inisiatif ini diperkukuh menerusi program lawatan dan tinjauan keselamatan yang membawa 14 perwakilan diplomatik melawat lokasi strategik serta destinasi pelancongan utama di kawasan ESSZone.
“Ini membolehkan mereka melihat sendiri tahap keamanan dan potensi pelancongan di kawasan berkenaan, sekali gus menyampaikan maklumat yang tepat, berfakta dan seimbang kepada negara masing-masing,” katanya.
Mengenai kawalan keselamatan di ESSZone, beliau berkata, Esscom merekodkan 897,293 pemeriksaan, 307 tangkapan serta 38 rampasan bernilai RM23.37 juta bagi tempoh Januari hingga 30 Jun lepas.






