MENTERI Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Mohamad Sabu berkata, Bantuan Insentif Pembajakan Kepada Pesawah (IPKP) hanya boleh dituntut selepas keseluruhan proses pengesahan dimuktamadkan.
Katanya, pelaksanaan kaedah itu bertujuan memastikan bayaran dibuat berdasarkan hasil kerja sebenar yang dilakukan oleh pesawah.
‘’Ada pihak cuba menimbulkan persepsi kononnya Kerajaan mengumumkan bantuan kepada pesawah tetapi terlalu lewat atau pun gagal menyalurkannya. Kerajaan MADANI telah menaikkan Insentif Pembajakan Kepada Pesawah (IPKP) daripada RM100 kepada RM160 sehektar bermula musim 1/2025, dan semalam Kerajaan mengumumkan kenaikan lagi nilai bantuan kepada RM300 sehektar.
‘’Bagi musim 1/2025, bayaran IPKP telah selesai sepenuhnya, melibatkan RM39.314 juta kepada lebih 135,000 pesawah di seluruh Semenanjung. Bagi musim 2/2025, setakat semalam lebih RM27 juta telah dibayar, manakala kira-kira 30% baki tuntutan sedang dalam proses dan akan diselesaikan tak lama lagi,’’ katanya dalam kenyataan di Facebook.
Beliau berkata, kaedah bayaran IPKP ialah “buat dulu, baru tuntut”. Ia tidak sama seperti bantuan tunai BUDI Agri-Komoditi yang terus dikreditkan ke akaun penerima.
‘’Kenapa guna kaedah ini? Kerana dalam setiap musim, ada pesawah yang menanam dan ada yang tidak. Ada yang musim ini mengusahakan 10 hektar, musim berikutnya hanya 8 hektar. Sebab itu tuntutan dibuat berdasarkan kerja sebenar yang dilaksanakan supaya wang rakyat diurus secara telus dan tepat,’’ katanya.
Mohamad berkata, apa yang perlu difahami ialah musim penanaman padi di setiap negeri tidak seragam.
‘’Contohnya, ketika Kedah mula memasuki musim baharu penanaman, ada negeri lain seperti Kelantan yang masih berada di fasa menuai. Jadi bayaran tidak boleh dibuat serentak kepada semua negeri pada masa yang sama.
‘’Selepas tuntutan dikemukakan oleh penyedia perkhidmatan atau pesawah, pegawai akan turun ke lapangan untuk membuat pengesahan. Jika dokumen lengkap dan tuntutan disahkan, bayaran akan diproses,’’ katanya.
Selain IPKP, kata beliau, Kerajaan MADANI juga telah memperkenalkan Insentif Penuaian Padi (IPP) sebanyak RM50 sehektar bermula tahun 2025, iaitu bantuan baharu yang tidak pernah diwujudkan sebelum ini. Proses pembayaran IPP juga menggunakan kaedah tuntutan yang sama.
‘’Dengan penjelasan ini, diharap rakyat dapat membezakan antara proses pengurusan bayaran dengan dakwaan palsu kononnya kerajaan tidak membayar langsung. Hakikatnya, bantuan telah dibayar, sedang dibayar, dan baki tuntutan akan terus diselesaikan selepas semua proses pengesahan dimuktamadkan,’’ katanya.
Dalam kenyataan itu Mohamad mengingatkan kelompok yang suka mencari populariti dengan ‘menunggang keresahan pesawah bahwa beliau yakin majoriti rakyat hari ini sudah bijak menilai, siapa yang buat kerja, dan siapa yang hanya main politik.
‘’Bagi Kerajaan MADANI, kita akan terus bekerja, tambah bantuan, baiki sistem, dan pastikan kebajikan pesawah terus terbela. Apa sahaja kelemahan dalam proses tuntutan yang dikenal pasti, Kementerian dan Kerajaan akan terus menambah baik dari semasa ke semasa,’’ katanya.


