AHLI Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman meluahkan rasa terkilan kerana tidak menyangka pertemuannya bersama Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali baru-baru ini menjadi pertemuan terakhir mereka.
Syed Saddiq berkata, pertemuan itu yang turut disertai tunangnya, Bella Astillah berlangsung sekitar dua jam di mana Allahyarham Dr Siti Hasmah sempat bergurau, berkongsi cerita serta memberikan nasihat mengenai perkahwinan, keluarga dan kehidupan.
“Kalaulah saya tahu itu pertemuan terakhir kita, saya berharap dua jam itu dapat berlangsung selama-lamanya.
“Tun ketawa bersama kami. Bergurau dengan kami. Berkongsi cerita, memberi nasihat tentang perkahwinan, keluarga dan kehidupan,” katanya dalam hantaran di media sosial hari ini.
Syed Saddiq berkata, dia masih sukar menerima pemergian Allahyarham Dr Siti Hasmah hari ini.
“Saya benar-benar masih tidak mampu menghadamnya. Saya sayang Tun, lebih daripada yang mampu digambarkan oleh seluruh alam semesta.
“Hati saya hancur. Sebahagian daripada diri saya masih enggan mempercayai yang Tun sudah tiada. Tapi ini ketentuan Allah. Kita datang daripada-Nya, dan kepada-Nya kita kembali,” katanya dalam hantaran itu.

Allahyarham Dr Siti Hasmah meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur pada jam 9.20 pagi tadi pada usia 100 tahun. Pemergiannya disahkan anaknya, Tan Sri Mokhzani Mahathir.
Pada 11 September lalu, Syed Saddiq mengunjungi Allahyarham Dr Siti Hasmah dan suaminya, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bagi menyerahkan sendiri kad undangan perkahwinannya bersama Bella.
Ketika itu, Syed Saddiq menyifatkan pasangan yang sudah mendirikan rumah tangga selama 70 tahun itu sebagai tetamu istimewa paling senior dalam senarai jemputannya.
“Hantar sendiri kad kahwin kepada Tun M dan Tun Hasmah, tetamu istimewa paling senior dalam senarai, tapi masih pasangan paling muda di hati!.
“Nak masuk alam perkahwinan, mestilah kena minta petua daripada pasangan paling berpengalaman di Malaysia,” katanya dalam hantaran ketika itu.
Bella dalam perkongsiannya mengenai pertemuan sama berkata, dia ingin mengetahui bagaimana pasangan itu mampu mempertahankan rumah tangga selama lebih tujuh dekad.
Dia berkata, pertemuan itu mengajarnya bahawa cinta bukan mengenai mencari hubungan yang sempurna, tetapi memilih untuk terus bertahan, belajar dan memaafkan antara satu sama lain.
Hari ini, Syed Saddiq berkata, Dr Hasmah tidak sempat memenuhi hasrat untuk menghadiri majlis perkahwinannya bersama Bella yang dijadualkan berlangsung pada 10 Oktober ini.
“Saddiq dan Bella tak dapat memenuhi hajat Tun untuk hadir ke majlis perkahwinan kami nanti, tetapi saya berjanji kepada Tun, nasihat Tun akan tetap bersama kami.
“Kami akan membawa nasihat itu ke dalam perkahwinan kami, ke dalam rumah tangga kami dan, insya-Allah, sepanjang hayat kami,” katanya.
Syed Saddiq turut berterima kasih kepada Allahyarham Dr Siti Hasmah atas kenangan terakhir itu serta setiap nasihat yang diberikan kepada mereka.
“Terima kasih atas setiap gelak tawa, setiap cerita dan setiap nasihat yang Tun tinggalkan kepada kami. Semoga Allah mengurniakan Tun tempat yang tertinggi di syurga. Sehingga kita bertemu lagi, Tun. al-Fatihah,” katanya.





