SEORANG kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun cedera selepas kakinya dipatuk ular tedung senduk dalam kejadian di Kampung Pulau Panjang, Jalan Kuala Besar, Kota Bharu, semalam.
Timbalan Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kelantan, Leftenan Kolonel (PA) Mohd Farid Ishak berkata, pihaknya menerima panggilan telefon pada jam 7 malam, sebelum bergegas ke lokasi kejadian untuk menangkap reptilia berkenaan.
“Sebaik tiba di lokasi, kanak-kanak terbabit dilaporkan sudah dibawa ke Klinik Kesihatan Badang oleh ahli keluarga untuk mendapatkan rawatan awal sebelum mangsa kemudian dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab (HRPZ) II bagi tindakan lanjut.
“Seramai empat anggota termasuk pegawai meneruskan misi mencari ular berkenaan yang mana mengambil masa selama lima minit sebelum berjaya menangkap tedung senduk seberat dua kilogram (kg) depan satu meter (m).
“Anggota kemudian menghubungi pihak hospital bagi memaklumkan spesies ular bagi memudahkan proses rawatan lanjut kepada mangsa,” katanya ketika dihubungi hari ini, lapor Buletin TV3.
Mohd Farid berkata, orang ramai diingatkan sentiasa berwaspada dan segera menghubungi talian kecemasan sekiranya berdepan situasi ancaman haiwan berbisa bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku.
Beliau berkata, orang ramai juga dinasihat tidak mengambil tindakan sendiri yang boleh mengancam nyawa serta menyerahkan kes sebegini kepada anggota yang pakar dengan haiwan berbisa.


