SEORANG kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam sungai ketika bermain bersama rakannya di Persiaran Subang Indah di Subang Jaya petang tadi.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ashrul Riezal Asbar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 8.06 malam.
Beliau berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya tiba di lokasi kira-kira 10 minit kemudian untuk menjalankan operasi mencari dan menyelamat.
“Kejadian membabitkan seorang kanak-kanak lelaki warga Indonesia berusia tujuh tahun yang terjatuh ke dalam sungai pada jam 6.30 petang ketika bermain bersama rakan-rakannya.
“Kerja mencari dan menyelamat sedang giat dijalankan,” katanya dalam kenyataan malam ini.
Ashrul Riezal berkata, operasi pencarian ketika ini dijalankan menggunakan kaedah surface searching atau pencarian di permukaan.
“Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) sedang dalam perjalanan ke lokasi bagi membantu operasi mencari dan menyelamat mangsa,” katanya.





