AMES Hotel Melaka tampil meraikan kepelbagaian budaya dan warisan kulinari negara menerusi penganjuran Bazaar Merdeka & Warisan Malaysia sepanjang Ogos dan September ini.
Program berkenaan mengetengahkan sajian autentik dari pelbagai negeri, persembahan tradisional serta elemen budaya yang mencerminkan semangat perpaduan rakyat Malaysia.

Pengalaman kulinari itu diterajui Pengarah Kulinari AMES Hotel Melaka, Chef Azli Ahmad yang memberi penekanan terhadap usaha mengekalkan keaslian resipi tradisional untuk diwariskan kepada generasi akan datang.
Antara sajian utama yang diketengahkan termasuk Kerala Fish Curry, Nasi Kerabu dan Laksa Sarawak. Kerala Fish Curry menampilkan hidangan makanan laut klasik India Selatan yang kaya dengan aroma serta rempah.


Nasi Kerabu pula mengetengahkan identiti kulinari Kelantan menerusi nasi kuning, ulam-ulaman segar dan pelengkap tradisional. Tidak ketinggalan Laksa Sarawak yang terkenal dengan kuah berempah serta gabungan rasa yang seimbang.
Menurut Chef Azli, usaha menghidupkan kembali resipi warisan bukan sekadar berkaitan makanan, sebaliknya turut membawa kisah dan identiti masyarakat yang menghasilkan hidangan berkenaan.


“Keunikan masakan kami terletak pada usaha mengekalkan resipi yang diwarisi turun-temurun,” katanya baru-baru ini.
Beliau berkata, sebahagian besar hidangan yang disediakan diinspirasikan daripada resipi warisan yang dipelihara oleh Chef Warisan Kebangsaan serta masyarakat dari seluruh Malaysia.


“Kami mengekalkan keaslian rasa sambil mempersembahkannya dengan kualiti dan sentuhan moden yang memenuhi jangkaan pengalaman gastronomi masa kini,” katanya.
Tambah beliau, setiap hidangan mempunyai cerita tersendiri yang perlu terus dipelihara supaya tidak hilang ditelan zaman.
“Setiap hidangan membawa sebuah kisah, dan menjadi tanggungjawab kami untuk memastikan kisah-kisah ini terus diwariskan kepada generasi akan datang,” katanya.
Selain makanan, AMES Hotel Melaka turut membawa elemen warisan ke ruang acara menerusi dekorasi bertemakan budaya.
Bahan-bahan pameran yang dipinjam khas daripada Arkib Negara Malaysia Negeri Melaka dan Jabatan Warisan Negara Zon Selatan turut digunakan bagi mewujudkan suasana yang lebih autentik.
Pendekatan itu memberi pengalaman lebih menyeluruh kepada tetamu dengan menggabungkan makanan, sejarah, budaya dan semangat kemerdekaan dalam satu acara.
Majlis pelancaran rasmi Bazaar Merdeka & Warisan Malaysia baru-baru ini turut dihadiri tetamu kenamaan, wakil media dan pempengaruh.
Acara dimulakan dengan sambutan ketibaan yang menyajikan Sirap Bandung Selasih serta kuih-muih tradisional Malaysia.
Persembahan pembukaan pula menampilkan Senandung Anak Melaka, Silambam dan Tarian Singa.
Kemuncak acara turut menyaksikan perarakan Jalur Gemilang 14 negeri bertemakan “Saya Anak Malaysia” yang disertai kakitangan AMES Hotel Melaka daripada pelbagai kaum.
Persembahan perpaduan “Satu Bangsa, Satu Negara” dan persembahan patriotik “Tanggal 31” turut mengisi acara sebelum pelancaran rasmi bufet makan malam Bazaar Merdeka & Warisan Malaysia.
Majlis turut menampilkan Pengurus Besar merangkap Wakil Pemilik, Jason Bak selain memperkenalkan Chef Azli selaku Pengarah Kulinari dan Chef Sabri selaku Cef Eksekutif.
Persembahan kugiran secara langsung pula berlangsung sepanjang malam bagi melengkapkan suasana sambutan.
Bazaar Merdeka & Warisan Malaysia bukan sekadar mengetengahkan hidangan tradisional, malah menjadi wadah AMES Hotel Melaka dalam menghargai identiti dan warisan kulinari Malaysia.
Setiap sajian membawa kisah tersendiri, manakala kepelbagaian budaya yang diketengahkan mencerminkan semangat kebersamaan serta perpaduan yang menjadi sebahagian daripada identiti negara.





