
PENGANJURAN Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 oleh Malaysia menjadi titik penting dalam memperkukuh imej negara di pentas serantau dan global.
Kejayaan ini bukan sekadar soal logistik atau protokol diplomatik, tetapi menandakan kebangkitan semula Malaysia sebagai negara penyatuan dan suara sederhana yang dihormati dalam geopolitik Asia Tenggara.
Dalam dunia yang kini dilanda ketidaktentuan, daripada konflik global, krisis ekonomi, hingga peralihan kuasa teknologi, Malaysia muncul sebagai contoh bagaimana diplomasi berasaskan komunikasi berhemah dan strategi mesej yang jelas dapat memulihkan kepercayaan serantau serta menegakkan semula reputasi negara sebagai pengimbang kuasa di rantau ini.
Kekuatan utama Malaysia sepanjang penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN ini terletak pada keberkesanan komunikasi diplomatiknya. Pendekatan Malaysia bukan bersifat defensif atau berlebihan, tetapi matang dan seimbang.
Ia memperlihatkan kefahaman mendalam tentang realiti hubungan antarabangsa, bahawa suara yang sederhana dan konsisten sering lebih berkesan berbanding tindakan yang agresif atau retorik yang tinggi.

Pemimpin Malaysia, melalui ucapan dan sidang media rasmi, berjaya menonjolkan tiga mesej utama yang menjadi nadi kepada strategi komunikasi negara iaitu kestabilan politik dalam negeri, kejelasan hala tuju ekonomi dan peranan Malaysia sebagai penghubung di antara ASEAN dan dunia luar.
Dari sudut politik, Malaysia memperlihatkan kestabilan selepas beberapa tahun ketidaktentuan. Dalam dunia diplomasi, kestabilan politik adalah bahasa kepercayaan. Negara yang stabil akan dipercayai untuk memimpin, menjadi tuan rumah rundingan dan dijadikan sekutu ekonomi. Malaysia memahami ini dengan baik.
Komunikasi politik Malaysia yang sederhana dan tidak berbentuk konfrontasi membantu mengembalikan imej negara sebagai pemimpin serantau yang pragmatik, yang tidak berpihak, tidak tunduk, tetapi berdiri di tengah sebagai penimbang yang berprinsip.
Dari perspektif ekonomi, komunikasi Malaysia disokong oleh fakta yang meyakinkan. Tahun 2024 mencatatkan pelaburan diluluskan sebanyak RM378.5 bilion, angka tertinggi dalam sejarah pelaburan negara, dengan 57 peratus daripadanya melibatkan pelaburan asing.
Keadaan ini memberi isyarat jelas kepada pelabur bahawa Malaysia kini memiliki hala tuju ekonomi yang stabil dan mesra inovasi. Forum-forum ekonomi semasa sidang kemuncak memperlihatkan strategi komunikasi yang kukuh di mana menekankan ekonomi digital, tenaga boleh diperbaharui, kecerdasan buatan (AI), serta keterbukaan terhadap teknologi hijau.

Naratif Malaysia dalam hal ini bersifat konsisten. Negara ini bukan sekadar destinasi pelaburan, tetapi juga rakan strategik dalam membina ekonomi masa depan ASEAN.
Kehadiran pemimpin dunia seperti dari Asia, Eropah, Amerika Syarikat, Afrika dan Amerika Latin, selain negara ASEAN menambahkan nilai simbolik terhadap keberkesanan komunikasi diplomatik Malaysia. Ia menunjukkan bahawa Kuala Lumpur kini kembali diiktiraf sebagai hab rundingan dan dialog global.
Dunia luar melihat Malaysia sebagai negara yang mampu mengekalkan hubungan baik dengan semua pihak, sama ada Barat, Timur atau dunia membangun. Keupayaan Malaysia mengurus perbezaan pandangan antara kuasa besar seperti Amerika Syarikat dan China tanpa mencetuskan ketegangan menunjukkan kemahiran komunikasi diplomasi negara yang tinggi, berpaksikan pendekatan beradab, terbuka dan saling menghormati.
Malaysia juga mengekalkan pendirian yang tegas dalam isu-isu kemanusiaan dan keselamatan serantau, termasuk krisis Myanmar, Thailand dan cabaran Laut China Selatan.
Walaupun isu ini sensitif dan sering memecah-belahkan pendapat dalam kalangan negara ASEAN, Malaysia memilih pendekatan berprinsip dengan mengutamakan penyelesaian berasaskan undang-undang antarabangsa dan kepentingan rakyat.

Pendekatan ini menggambarkan diplomasi moral Malaysia, yang tidak berasaskan kuasa atau tekanan, tetapi pada nilai kemanusiaan dan keadilan. Ini adalah bentuk komunikasi yang memenangi kepercayaan jangka panjang, bukan hanya tepukan dalam sidang.
Keberkesanan komunikasi Malaysia juga terserlah dalam aspek pengurusan media dan naratif antarabangsa. Siaran media rasmi kerajaan, kenyataan jurucakap dan liputan diplomatik yang dikawal secara profesional memaparkan disiplin mesej yang tinggi.
Tiada percanggahan atau kekeliruan. Semua mesej selari dengan dasar dan hala tuju negara, menggambarkan Malaysia sebagai negara yang tahu apa yang mahu disampaikan dan bagaimana ia mahu difahami oleh dunia luar. Dalam dunia diplomasi moden yang sering terdedah kepada manipulasi media dan perang persepsi, kejelasan komunikasi seperti ini adalah aset utama.
Penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN yang telah menutup tirainya di Kuala Lumpur juga mencerminkan keupayaan Malaysia membina suasana diplomatik yang produktif. Suasana kerja dan suasana media sepanjang sidang berlangsung dengan harmoni dan teratur.
Ini melambangkan kematangan Malaysia sebagai penganjur, tetapi lebih penting lagi, sebagai penyampai mesej yang bijak. Dunia luar menyaksikan Malaysia bukan sekadar sebuah negara yang efisien, tetapi juga beradab dan menghormati protokol antarabangsa dengan penuh integriti.
Kejayaan komunikasi diplomatik Malaysia ini membuka ruang untuk hala tuju baharu selepas penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 ini. Malaysia kini berada dalam kedudukan terbaik untuk memimpin agenda serantau yang lebih berani dan berimpak tinggi.
Antara matlamat utama selepas kejayaan ini ialah memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai pusat diplomasi serantau, memperluas pengaruhnya dalam bidang ekonomi digital dan tenaga hijau, serta memainkan peranan utama dalam pendidikan diplomasi dan komunikasi antarabangsa bagi generasi akan datang.
Malaysia boleh memanfaatkan kejayaan penganjuran ini untuk menubuhkan platform tetap seperti ASEAN Dialogue and Diplomacy Centre atau satu pusat pemikiran serantau berasaskan komunikasi strategik, keamanan dan kerjasama ekonomi.
Selain itu, Malaysia berpotensi memperkukuh kerjasama Selatan-Selatan, menghubungkan ASEAN dengan dunia Islam, Afrika dan Amerika Latin melalui pendekatan diplomasi ekonomi yang lebih progresif.
Dalam konteks komunikasi, Malaysia perlu meneruskan amalan strategik diplomasi bernaratif dengan membina mesej yang bukan hanya menjelaskan dasar, tetapi menanam kepercayaan terhadap nilai kemanusiaan dan kepimpinan Asia Tenggara.
*Dr. Haji Ainol Amriz Ismail merupakan Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Press Institute (MPI)


