DEWAN Pemuda Pas Pusat menyifatkan kenyataan Presiden parti itu Tan Sri Abdul Hadi Awang bahawa calon Perdana Menteri daripada Pas hendaklah berusia bawah 70 tahun memberi gambaran besar tentang keseriusan untuk menampilkan wajah baharu dalam pentadbiran dan kepimpinan negara.
Timbalan Ketuanya Mohd Hafez Sabri berkata, kenyataan Abdul Hadi itu mencerminkan iltizam Pas untuk tidak hanya bergantung kepada calon “recycle” atau tokoh lama semata-mata, sebaliknya bersedia mengetengahkan calon-calon yang lebih berkaliber, segar dan berdaya saing.
‘’Anak muda khususnya menyambut baik kenyataan ini kerana ia melambangkan keterbukaan Pas dalam memberi ruang kepada generasi pelapis yang berpotensi untuk mengambil tanggungjawab kepimpinan negara. Pendekatan ini bukan sahaja memperlihatkan kebijaksanaan dalam strategi politik, bahkan menegaskan bahawa Pas serius membawa aspirasi perubahan dan nafas baharu untuk Malaysia,’’ katanya dalam kenyataan..
Pada sidang media seleps menyampaikan ucapan dasar pada Muktamar Tahunan Pas Kali-71 di Alo Setar, Abdul Hadi berkata, beliau tidak layak menjadi Perdana Menteri kerana faktor usia dan kesihatan.
“Saya sudah 78 tahun, orang macam saya tak layak dah. Pilih yang paling sihat dulu, orang yang berusia bawah 70 tahun lebih gagah untuk memimpin. Itu cara Pas memilih pemimpin,” katanya.
Abdul Hadi berkata, Pas bersedia memimpin negara dengan syarat parti itu terlebih dahulu berjaya memenangi pilihan raya.
“Soal siapa bakal Perdana Menteri akan ditentukan secara dalaman dalam Perikatan Nasional (PN). Keutamaan kita ialah menang pilihan raya dahulu. Perdana Menteri perlu memimpin secara kolektif, bukan secara diktator. Sebab itu kita perlukan kabinet yang melibatkan semua kalangan rakyat, bukan sahaja ahli politik tetapi juga teknokrat. Kita juga perlu mengambil kira penyertaan semua kaum dalam kabinet bagi merakyatkan pemerintahan,” katanya.
Dalam kenyataannya Mohd Hafez berkata, Pemuda Pas percaya bahawa apa yang ditegaskan oleh Abudl Hadi akan memperkukuhkan keyakinan rakyat bahawa Pas bukan sahaja parti masa lalu, tetapi juga parti masa depan – yang bersedia memimpin Malaysia dengan kepimpinan yang dinamik, progresif dan tetap teguh dengan prinsip Islam.


