
POLIS Diraja Malaysia (PDRM) berada dalam keadaan siap siaga bagi memastikan proses Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan berjalan lancar serta terkawal.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Khalid Ismail berkata, persiapan awal sudah digerakkan termasuk penyelarasan keanggotaan dan pemantauan di semua lokasi berkaitan pilihan raya.
Menurut beliau, bagi PRN Johor sahaja, PDRM dijangka menggerakkan kira-kira 4,000 hingga 5,000 anggota serta pegawai bagi membantu pengoperasian sepanjang tempoh pilihan raya.
Katanya, keperluan jumlah anggota itu mengambil kira keluasan negeri Johor serta jumlah kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan.
“Di negeri Johor, saya difahamkan Polis Kontinjen Johor memerlukan bantuan tenaga kerja daripada PDRM lebih kurang 4,000 ke 5,000 orang.
“Ini mengambil kira keluasan negeri Johor yang begitu besar dengan jumlah lebih kurang 56 kerusi DUN yang dipertandingkan.
“Sehubungan itu PDRM akan mengawasi semua tempat-tempat undian dan saluran yang telah ditetapkan dengan kekuatan yang diperlukan,” katanya dalam sidang media selepas melancarkan kempen Perangi Scam ‘Dua Pasukan Satu Matlamat’, di Kuala Lumpur hari ini.
Pada 12 Jun lalu, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Ramlan Harun mengumumkan hari penamaan calon bagi PRN Johor ditetapkan pada 27 Jun, manakala pengundian awal pada 7 Julai dan hari mengundi pada 11 Julai.
Bagi PRN Negeri Sembilan pula, penamaan calon ditetapkan pada 18 Julai, diikuti pengundian awal pada 28 Julai dan hari mengundi pada 1 Ogos depan.
PRN Johor dianggarkan membabitkan peruntukan sebanyak RM86.8 juta manakala PRN Negeri Sembilan dianggarkan memerlukan RM80.6 juta.






