KERAJAAN MADANI akan terus memperhalusi kemungkinan meningkatkan jumlah bantuan untuk rakyat termasuk Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) jika keadaan ekonomi negara mengizinkan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu telah dibincangkan bersama dengan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Johan Mahmood Merican dan akan dipertimbangkan dalam pembentangan Belanjawan.

“Jadi ini saya katakan ikhtiar yang terus kita lakukan… yang dapat STR, SARA…. saya beritahu kalau keadaan ekonomi mengizinkan, saya telah bincang semalam, Sabtu petang… saya panggil juga Ketua Setiausaha Perbendaharaan, bincang apakah mungkin kita tambah lagi.
“Dalam Belanjawan, saya fikir bagaimana nak tambah peruntukan untuk bantu rakyat,” kata beliau ketika berucap pada Program MADANI KITA Bersama Komuniti Tambun anjuran Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) di Ipoh hari ini.
Yang turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha (Keselamatan) Kementerian Dalam Negeri, Datuk Abdul Halim Abdul Rahman dan Ketua Pengarah Rela, Datuk Rosli Yaakub.
Anwar yang juga Menteri Kewangan, berkata kerajaan turut memberi perhatian terhadap kebajikan pasukan keselamatan termasuk anggota Rela yang membantu menyelesaikan krisis keselamatan dan bencana negara.
“Rela ini juga mempunyai peranan yang besar… selain daripada jaga keselamatan, juga menyantuni rakyat… jadi, kita luluskan tahun lepas RM3 juta ya, tapi tentunya tak cukup.
“Jadi, untuk jaga kepentingan Rela, saya setuju teruskan program itu dan tahun ini, kita bagi RM3 juta untuk kebajikan Rela,” kata beliau.






