SEORANG kanak-kanak lelaki meninggal dunia ketika bermain dalam satu kejohanan bola sepak Bawah 12 Tahun di Persiaran Ekoflora di Johor Bahru semalam.
Kanak-kanak itu, Danish Hizqeel Mohd Hanif, 12, adalah pemain yang mewakili Akademi Shining, sebuah kelab bola sepak yang berpangkalan di Pasir Gudang.
Difahamkan bahawa kanak-kanak tersebut rebah ketika bermain sebelum disahkan meninggal dunia.
Berdasarkan hantaran di laman Facebook Shining FC, kelab itu menyatakan Danish Hizqeel telah menghembuskan nafas terakhirnya ketika bermain dalam satu kejohanan bola sepak.
Kelab itu menyifatkan pemergian Danish Hizqeel amat dirasai oleh seluruh komuniti bola sepak Johor dan rakan-rakan sepasukannya di padang.
Shining FC berkata, Danish Hizqeel telah mewakili kelab berkenaan sejak beliau berusia lapan tahun lagi.
Kelab itu menyifatkannya sebagai seorang pemain yang bersemangat tinggi dan rajin, sentiasa menghormati jurulatih, serta sering membawa kegembiraan kepada rakan sepasukan.
Shining FC dijangka mengeluarkan kenyataan rasmi dalam masa terdekat.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Azrul Hisham Mohd Shaffei yang mengesahkan kejadian itu berkata, kes berkenaan diklasifikasikan sebagai kematian mengejut.
Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Negeri Johor, Mohd Hairi Mad Shah mengingatkan semua penganjur sukan agar sentiasa mengutamakan langkah keselamatan.
“Terdapat keperluan untuk memastikan langkah keselamatan yang ketat, kesiapsiagaan perubatan, dan pemantauan kesihatan di semua acara sukan, terutamanya yang melibatkan atlet muda.
“Pertandingan sukan di Johor sewajarnya dianjurkan dengan berpandukan rundingan bersama badan induk sukan yang diiktiraf dan diluluskan oleh kerajaan bagi memastikan pematuhan peraturan, langkah keselamatan yang mencukupi, pelan tindak balas kecemasan yang berkesan, serta kebajikan semua peserta,” katanya ketika dihubungi media.
Beliau turut menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga mangsa.






